Tuesday, June 19, 2012

Kenapa Perlu Ada Papan Tanda Itu?


   Di sebuah pasar, ada seorang lelaki menjual pelbagai jenis ikan. Lelaki itu menulis pada papan tanda di hadapan gerainya yang berbunyi: ‘Di sini menjual ikan segar’.

  Suatu ketika, datanglah seorang pembeli ke gerainya. Setelah membeli ikan, si pelanggan itu pun berkata: “Mengapa engkau perlu menulis perkataan ‘di sini’ pada papan tanda itu? Sedangkan semua orang memang tahu engkau berniaga ikan di sini, bukannya di sana!”

    “Betul juga kata pelanggan itu,” fikir si penjual ikan.

   Lantas dia memadam perkataan ‘disini’ pada papan tanda itu. Yang tinggal hanya tulisan ‘Menjual ikan segar’.

   Keesokannya, datang pula pelanggan lain. Pun sama, pelanggan itu memberi komen tentang papan tanda tersebut. Katanya: “Mengapa perlu tulis perkataan ‘segar’? Kan semua orang tahu yang kamu jual ikan segar, bukan ikan busuk!”

    “Betul juga katanya itu,” fikir si penjual ikan itu lagi.

   Lantas dia memadam perkataan ‘segar’ dari papan tanda gerainya itu. Yang tinggal hanya tulisan ‘Menjual ikan’.

   Pada hari yang lain, singgah singgah seorang pelanggan yang membeli ikan di gerainya. Pelanggan itu berkata: “Mengapa perlu tulis perkataan ‘Menjual ikan’? Bukankah orang tahu ikan ini untuk dijual, bukan untuk dipamerkan!”

   Si penjual ikan itu mengangguk kepala, tanda setuju dengan pendapat pelanggan itu. Lantas dia memadamkan perkataan ‘Menjual’. Tinggal sahaja perkataan ‘Ikan’ pada papan tanda tersebut.

   Keesokannya, datang pula pelanggan yang lain. Melihat tulisan tersebut, pelanggan itu berkata: “Mengapa kau perlu tulis papan tanda ‘Ikan’? Sedangkan orang tahu di sini memang menjual ikan, bukannya daging!

  Sekali lagi, si penjual tadi bersetuju dengan pendapat pelanggan itu. Akhirnya, dia menurunkan saja papan tanda gerainya. Tiada lagi papan tanda tergantung di hadapan gerainya seperti selalu.

   Sejak itu, si penjual ikan mula merasakan kelainan. Pelanggannya mula berkurangan, tidak seramai dulu. Sebaliknya gerai lain yang menjual ikan lebih mendapat sambutan hebat. Dan apa yang diperhatikannya, peniaga-peniaga lain tetap memasang papan tanda: ‘Ikan untuk Dijual’ di hadapan gerai masing-masing.

  Barulah si penjual ikan itu berfikir, apa masalahnya jika dia terus menggantungkan papan tanda tersebut sedangkan selama ini ia langsung tidak memberi risiko yang buruk terhadap perniagaannya.

  Tetapi, sebaik sahaja dia bertindak membuang papan tanda itu perniagaan ikannya terus merundum. Penjual ikan berfikir, mengapa dia tidak yakin kepada kebolehan dirinya sendiri dan asyik mendengar ‘cakap-cakap’ orang yang belum pasti kebenaranya?

   Pembaca sekalian, jika anda mahu memuaskan hati semua orang, yakinlah bahawa ia sesuatu yang mustahil untuk dilakukan, bahkan ia mungkin akan merugikan diri kita sendiri kelak.  Fikir-fikirkanlah.



[Mastika, November 2011, halaman 36 & 37]

p/s: tak perlu ikut cakap orang tentang strategi berniaga. Kalau boleh ikutlah nasihat tetapi rujuklah dengan yang pakar-pakar berniaga bukan orang yang kita tak tahu tahap ilmunya.....
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...