Thursday, August 16, 2012

Malapetaka Dahsyat Menanti Orang Kafir





Firman Allah SWT: Kepada Tuhannyalah mereka melihat.                
(Surah al Qiyamah:23)

Ibnu Kathir berkata: Iaitu melihat pendapat secara langsung. Inilah juga pendapat ahli Sunnah Wal Jamaah di mana melihat Allah s.w.t adalah perkara yang tidak syak padanya berdasarkan hadis-hadis yang sahih antaranya seperti yang dinyatakan oleh Ibnu al-Jauzi melalui kitabnya al-Mughni dan al-Hadaiq.

Sayid Qutub berkata: Mengapa pula tidak berseri-seri sedangkan mereka memandang keindahan wajah Tuhan mereka? Apabila seseorang melihat keindahan ciptaan Allah di bumi seperti keindahan mayang-mayang, keindahan kembang mekar, keindahan sayap-sayap yang mengepak, keindahan jiwa yang luhur dan perbuatan yang baik, maka perasaan bahagia yang membanjiri hatinya akan melimpah kepada wajahnya dan membuat wajahnya berseri-seri.

Jadi bagaimana pula nanti wajahnya akan berseri-seri jika mereka memandang keindahan Allah Yang Maha Sempurna dalam suasana yang bebas daripada segala gangguan yang wujud di alam buana?

Manusia tidak mencapai darjah ini melainkan apabila ia bersih daripada segala gangguan yang menghalanginya daripada sampai ke darjah yang sukar dikhayalkan ini, iaitu bukan sahaja bersih daripada gangguan-gangguan yang wujud disekelilingnya tetapi juga bersih daeripada gangguan-gangguan dalam dirinya sendiri, yang berbentuk keinginan kepada sesuatu kenikmatan yang lain daripada kenikmatan melihat Allah.

Firman Allah SWT: Dan wajah-wajah (orang kafir) pada hari itu muram (Surah al-Qiyamah:24)

Ibnu Khatir berkata: Itulah wajah orang-orang yang jahat yang mana pada hari kiamat wajah-wajah tersebut menjadi muram.

Ini disebabkan amalan mereka yang buruk di dunia dahulu, natijahnya mereka benar-benar sesal, takut, keluh kesah dan amat bimbang atas perbuatan mereka di mahkamah Allah SWT pada hari akhirat.

Firman Allah SWT: Mereka yang bahawa akan ditimpakan kepadanya malapeteka yang amat dahsyat.  (Surah al-Qiyamah:ayat 25)

Mujahid berkata: Iaitu malapetaka.

Qatadah berkata: Iaitu keburukan.

Sayid Qutub antara lain berkata: Dosa yang mereka lakukan menyebabkan mereka berdukacita, muram dan masam sehingga ternanti-nanti malapetaka yang dahsyat yang boleh mematahkan tulang mereka akan ditimpa ke atas mereka.

Semoga kita tergolong dalam golongan yang mendapat rahmat dan nikmat daripada Allah SWT yang melayakkan kita menghuni syurga-Nya. Amin.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...