Monday, September 22, 2014

Sangkar Sepi II



     Sebuah cerita duka yang lama tetap aku biarkan ia terpahat dalam memori. Entah perit dan sakit manapun tetap akan aku simpan. Biar luka yang sudah berparut itu kembali berdarah, tetap juga aku mahu menyimpannya. Cerita silam aku simpan sebagai koleksi bagi melengkapkan sebuah riwayat hidupku. Biarlah ia menjadi diari rahsia. Dinukil oleh aku, dan dibaca hanya oleh aku sendiri. Anai-anai hanya akan melibatkan diri dalam proses pereputan naskhah riwayat hidupku itu sahaja.

Aku masih ingat detik gembira itu. Bagi insan yang lain, ia nampak seperti biasa. Tapi, bagi aku dan jiran, yang merangkap sebagai sahabat setia aku, amat merasa bertuah jika berjaya menjejakkan kaki keluar dari neraka dunia ini. Setiap hari kami tak ubah seperti robot yang telah diprogramkan untuk melakukan sesuatu. Bergerak seperti rela, namun hati amat berbeza. 

         Ada juga seharian aku terkurung. Aku merenung sejauh-jauhnya seolah-olah aku nampak segala-galanya. Aku selalu teringatkan keluargaku dikampung. Bagaimana agaknya mereka melayari sebuah kehidupan berjirankan tohmahan dangkal manusia? Seharian juga aku memohon ampun kepada Tuhan. Tika waktu inilah aku terlalu mengidam untuk mebaca al-Quran walaupun sebelum ini jarang sekali aku membacanya. Namun, hanya kadang-kadang aku berpeluang membacanya.

Pernah juga aku mendengar cerita tentang penghuni yang disebat. Pedih katanya. Amat sakit. Habis longgar sendi lututku. Hampir juga aku terkencing. Kenapa? Kenapa takut? Mana tidaknya, aku juga bakal menghadap dengan rotan berbisa itu! Bersama ketakutan, akhirnya aku menghadap juga hukuman tersebut. Aku dimasukkan dalam sebuah bilik. Suasananya begitu menyeramkan. Ketibaanku dinantikan oleh seorang pegawai. Lagaknya seolah-olah cuba menciplak gaya Munkar dan Nakir. Aku dibogelkan. Rasa macam di Guantanamo.

Punggungku dibiarkan terbonjol seperti ban kentang yang berharga RM 2.70. Dilapik daerah sekitarnya menggunakan sejenis alat seperti span yang telah dipakai oleh berpuluh atau beratus penghuni. Pegawai tersebut menarik kepalaku rapat. Mataku ditutup olehnya. Mulutku dibiar ternganga. Tiba-tiba, bunyi tapak kaki yang kuat kedengaran. Tak lama kemudian pegawai dihadapanku berkata, “Satu!”.

“Pang!” Berserta bunyi itu, disusuli pula oleh jeritanku yang mungkin menitiskan air mata ibuku sekiranya dia mendengarnya. Sakitnya tak terkata. Aku lebih rela dirotan oleh Cikgu Nizam semasa di tingkatan tiga dahulu. Belum sempat beransur hilang sakit itu, ditambah pula yang kedua. Bertambahlah rasa sakitnya sampai yang seterusnya. Hingga punggungku merasa kebas. Seakan reseptor sakit tidak mampu lagi berfungsi. Aku juga merasa lemah. Hampir pengsan. Pegawai tersebut menampar muka aku supaya penglihatanku tidak menjadi gelita.


(gambar hiasan semata-mata)


Berhari-hari, berminggu-minggu aku terpaksa hidup bertemankan kesakitan itu. Tidur bertemankan mimpi ngeri. Ku rasakan seperti seluruh kudratku telah lumpuh. Urat nadi telah putus. Seperti daun yang kering mereput di tanah. Kudratku lemah tak terdaya.

Jasad yang longlai tak mampu meleburkan semangat jiwa. Itulah kekuatanku. Aku sabar dan redha dengan segala ujian. Besi-besi yang wujud disekeliling itulah menjadi contoh untuk aku terus kuat dan tabah. Bersama sahabat-sahabat yang banyak memberi sumber tenaga untuk jiwaku, dinding-dinding yang memberi motivasi secara pasif buat aku dan pegawai-pegawai yang memberi psikologi songsang untuk aku. Aku takkan pernah lupa semuanya. Ia memadamkan mitos kepada aku bahawa kehidupan disini meruntuhkan keseluruhan hidup. Ternyata tidak. Sedikit sebanyak ia memberi motivasi buat aku.


Kini, aku berada diluar sangkar besi yang penuh sepi itu. Aku memandangnya dan seluruh isinya bersama sebuah senyuman yang sukar dihentikan. Aku perlu belajar semula untuk hidup di dunia yang pelbagai ragam ini. Ada putih, ada hitam. Perlu berjaga-jaga. Bersama perisai dari tikaman lidah manusia yang begitu berbisa. Aku perlu bersedia. Kembali ke pangkuan keluarga bersama keredaan dan kemesraan amat aku hargai. Syukur. Aku kini seumpama lahir kembali ke dunia ini, perlu belajar segala-galanya semula. Mengharapkan manusia dan sekeliling menjadi guru buat aku. Aku mahu jadi manusia baru!


Sekian, 
T.A.M.A.T.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...