Sunday, August 10, 2014

Lebih Baik Membisu



     Tipikal kebanyakan institusi pengajian yang memandang rendah akan minda pelajarnya, mengenakan sistem yang merantai dari hujung kaki hingga hujung kepala pelajar. Hakikatnya, mereka paranoid dengan bayang-bayang mereka sendiri. Diacah, dilayan seperti budak sekolah. Menutup ruang minda mereka dari melakukan perkara diluar jangkauan seumpama merpati yang dikurung kerana takut akan najisnya. Para pelajar seakan nyanyuk dari mengingati penindasan yang tak berbayang tersebut. Disebabkan itu, Osman, Raavi dan Peter Lee dipaksa melangkah keluar dari institusi tersebut dengan tidak terhormat.

Rangkaian tiga segi mereka membentuk suatu kekuatan yang tidak terduga. Menyeru akan minda yang lain untuk bergabung membentuk paduan yang lebih dahsyat. Membangun jiwa-jiwa yang tidur, menghidupkan akal dan minda yang mati. Membangkitkan satu kesedaran yang segar, mencerahkan segala kegelapan. Lidah selalunya ditafsir pada tajamnya, bukan pada hikmahnya. Telinga mereka pekak dari mendengar suara yang berhikmah.

Bukan kebebasan yang dimahukan, bukan segala kehendak mahu dipenuhi tapi rasa hati yang membarah mahu diluahkan. Peter Lee dihukum rasis oleh algojo bersongkok. Osman difatwa sesat oleh ostad berserban. Raavi dituduh samseng oleh lelaki bercota. Kerana takut aura kebenaran tersebar, pejuang difitnah dicaci. Malang sungguh si bertali leher di kerusi empuk, diharungi lalat dek hati yang busuk. Suara-suara dianggap anjing menyalak, kucing mengiau. Didengar sebelah telinga sahaja. Darjat manusia diukur pada kilatnya kasut. Pelik.




Tiga sekawan tetap berani menyuarakan dari lubuk hati, namun tetap dengan irama yang sesuai didengar ‘mereka’ disana. Bukan revolusi mahu dicetuskan, cuma suara yang mahu manusia bangun menukar haluan sesat ke haluan kejayaan. Hukuman yang dijatuhkan tak berupaya mematikan semangat yang lain bahkan meningkatkan lagi impaknya.

Sekalipun itu, pelajar tidak menghukum mereka sebagai rejim. Minda mereka tetap mahukan penyelenggaraan pada sistem yang cacat, bukan mahukan perubahan yang drastik dan menggila. Sudahlah bakal menjadi hamba hutang piutang kelak, diasak oleh mereka yang cacat derianya. Masa depan tiga serangkai tersebut makin sempit, akibat salah faham yang disengajakan. Namun, bersama semangat-semangat yang dihulurkan membuatkan mereka terus hidup dan berakal. Ia juga membuka mata manusia untuk melihat betapa peliknya tindakan yang diambil sebagai respon kepada suara tiga serangkai tersebut.

Bagi jiwa marhaen, mereka tetap bersama falsafah yang sama, dalam bahasa yang tersendiri. Dalam ingatan, mukasurat-mukasurat rahsia sebagai senjata hikmat bakal dihunus ke arah para firaun moden dengan mulut ditutup pita pelekat.

Bisik hati salah seorang pelajar;

Adakah kita perlu melunakkan suara kita hingga hilang maksud sebenar atau lebih baik membisu saja?”

p/s: Cerita diatas adalah rekaan semata-mata. Watak dan perwatakan tiada kena mengena dengan yang mati atau hidup, jika ada hanyalah kebetulan semata-mata. Kbye.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...