Sunday, October 13, 2013

Sangkar Sepi



Sangkar besi, sangkar itu berisi manusia. Banyak juga insan di dalamnya. Aku adalah sebahagian darinya. Aku mempunyai seribu satu kisahku yang tersendiri. Sangkar ini sudah mula menjadi rumah kedua bagiku. Aku mesti membiasakan diri disini. Makan, minum, mandi sudah berubah. Solat? Aku solat seperti dahulu, tetapi dalam keadaan yang berbeza. Dulu, sejadah empuk, sekarang? Tiada. Wajah insan tersayang? Hendak tatap gambar pun tiada. Hanya mampu melihat wajah tersebut dalam minda. Pandangan mataku menerobos tembok besi itu seolah-olah mampu melihat dunia luar. Hakikatnya, mataku telah buta dari semua itu. Mahu berhubung dengan dunia luar? Hanya mampu mencipta teman imaginasi untuk berbicara dan berborak. Nampak seperti gila.

Fitrahnya, orang yang menempah tempat disini selalunya pernah melakukan perkara yang menyalahi undang-undang. Tapi, aku lain sekali. Songsang. Penjenayah atau penyelamat? Aku adalah di antara kedua-dua tersebut. Serba subjektif. Mana satu aku. Perkara apakah yang aku lakukan? Aku dikatakan penjenayah. Mahkamah yang melabelkan aku sedemikian rupa. Jiran, keluarga dan sahabat aku menjadi peguam bela yang terbaik. Penjenayahkah aku?

Bagiku, negaraku adalah penjara. Penjara adalah negaraku. Hidup bawah payung tirani. Amat menyeksakan. Hairarki sosial dikuasai cicit-cicit firaun. Kejam. Masyarakat yang lebih tahu menghukum dari mengadili. Amat sedikit aku berbicara, namun dikata seolah-olah sejuta fitnah telah aku lontarkan. Aku ibarat bomba yang ingin menyelamatkan mangsa kebakaran. Namun, aku ditolak ke jurang api oleh mangsa yang telah aku selamatkan. Lebih kurang begitulah secara analoginya.

Mengimbas kembali tragedi sial itu, aku begitu mengharapkan yang dunia ini menjadi lebih indah. Indah dari sesuatu yang keji. Ingin aku menerangi dunia ini walaupun hakikatnya diriku tak ubah seperti sang kelip-kelip.

Di kala rembulan kian menipis dari membulat diadun dengan gelita yang tak bercahaya. Aku menunggang sebuah motosikal yang baru ku beli, tak sampai tiga bulan. Masih berkilat lagi. Motosikal itu ku tunggang dengan cermat selepas pulang dari solat isyak di surau. Aku melalui jalan di sebuah taman perumahan. Kawasan disitu tampak sedikit bercahaya, memandangkan penghuninya masih belum melelapkan mata lagi. Kemudian, aku melalui satu lorong yang tak berturap. Jalan itu gelap, tak ada sebarang cahaya. Hanya kedengaran melodi nyanyian katak sebagai tanda rindu kepada hujan.



Tiba-tiba, jantungku hampir luruh tatkala mendengar jeritan seorang perempuan meminta tolong. Jantungku makin berdegup kencang, menambahkan lagi tekanan darah dalam tubuhku. Setelah mendengar keputusan akhir dari benak hatiku, aku beranikan diri ini jua. Aku segera turun dari motosikal kesayanganku itu. Aku mencari jeritan itu di tengah pekat malam. Mujur aku punya telefon bimbit yang mempuyai lampu khas. Aku masih lagi mencari jeritan itu bimbang ia ditelan gelita yang bertaring durjana.

Alangkah terkejutnya aku setelah melihat seorang perempuan cuba dinodai seorang jantan celaka. Berperisaikan semangat keberanian, aku segera menyerang lelaki itu dengan kudrat yang aku ada. Biarkan apa saja terjadi padaku, asal perempuan itu selamat. Aku menyergah lelaki itu sebagai ucapan salam. Lalu, aku menjamu dengan beberapa buah tumbukan yang lazat ke arah kepalanya. Disusuli pula dengan tendangan padu menuju ke punggungnya. Kerana ketajaman buah serangan aku itu, maka lelaki itu pun beredar.

Aku cuba mendekati perempuan itu. Menanyakan tentang keadaannya. Namun, dia kata, dia tidak apa-apa. Aku cuba membantunya seupaya mungkin. Aku mengajaknya untuk ke hospital. Dia tidak mahu. Aku cadang ke balai polis. Lagi dia tak mahu. Takut, malu dan segan katanya. Aku dapat meneka bagaimana rasa hatinya. Aku menawarkan diri untuk menemaninya pulang. Sedu tangisannya makin meninggi pula. Dia takut untuk pulang ke rumah. Lalu, mahu kemana? Rumahku? Jangan... Jangan. Aku tinggal seorang, mana boleh. Mulut manusia amat berbisa. Bahaya.

Gadis itu seolah-olah mampu membaca bisik hatiku. Dia mahu pulang ke rumah aku kalau boleh. Namun, aku dengan tegasnya tidak mengizinkan. Aku tinggal seorang. Tak boleh. Dia mengangguk kepala segabai simbolik setelah memahaminya. Mungkin dia fikir aku tinggal dengan ibuku. Setelah termenung panjang, gadis itu memberitahu aku supaya membawanya ke rumah bapa saudaranya dengan segera. Agak jauh sedikit katanya. Dia akan ke hospital dan membuat laporan polis setelah memberitahu hal ini kepada bapa saudaranya. Aku segera berbuat demikian kerana tidak mahu membuang masa. Biarlah mereka selesaikannya.

Setelah menikmati kesejukan bayu malam yang terhasil dari gerakan motosikal, kami telah sampai ke rumah bapa saudaranya. Aku melihat ke dalam rumah itu. Sunyi. Katanya, mungkin Pak Ngahnya ke masjid, belum pulang. Dia menyuruh aku pulang. Tapi aku bimbang segala kronolgi tragedi itu disembunyikan olehnya. Mungkin juga dia boleh menguruskan segalanya. Ku letakkan sejuta harapan ke atasnya.

***

Menikmati malam yang segar. Aku duduk bersandar diatas sofa yang empuk tapi nampak usang. Walaupun hakikatnya aku orang muda. Tapi ini gaya hidup sang bujang. Aku mengimbas kembali tragedi semalam. Merenung sejenak. Ketika merenung jauh sedalam-dalamnya, aku dikejutkan dengan ketukan pintu yang kuat. Seperti mahu memecahkan pintu itu.


Alangkah terkejutnya aku melihat penduduk setempat mengepung rumah aku. Aku tergamam. Apa yang telah aku buat. Dengan wajah yang berkerut dan merah padam, seorang lelaki muda bertanya kepada aku:

“Apa kau buat dengan budak perempuan ini”.

“Ooo.. semalam dia hampir di rogol. Jadi saya..”

“Ahh jangan nak buat cerita”. Dia memintas penjelasan aku.

“Mina, apa yang jantan ni buat pada kau.” Dia menyoal gadis tersebut.

Luluh, hancur hatiku ini setelah mendengar penjelasan palsu dari perempuan itu. Aku yang cuba menyelamatkannya tetapi ini yang aku terima. Aku yang dituduh membuat perkara terkutuk itu. Aku cuba memberi penjelasan, namun aku dijamu dengan pukulan padu oleh penduduk. Sakit. Lagi sakit hati aku ini. Aku dikatakan teman lelakinya, walhal aku langsung tak kenal dia. Tengok muka dia sebelum ni pun aku tak pernah.

Pada mulut perempuan itu penuh durjana, dia cuba menambah rasa lagi dengan mengatakan aku ada menyimpan dadah. Aku bertambah terkejut. Kali ini aku perlu mempertahankan diri. Aku tak boleh diam lagi. Aku melemparkan beberapa hujah untuk menangkis fitnah itu. Namun, jiwa penduduk yang telah dipukau oleh perempuan itu langsung tidak mempercayai kata-kataku. Hanya perisa tambahan sepak terajang yang aku dapat. Motosikal kesayanganku itu dirobek, untuk mencari benda najis itu. Dengan kasarnya mereka membuka. Setelah dibuka memang ternyata ia mempunyai dadah itu.

Mataku terbeliak. Tidak percaya. Mulutku ternganga. Lidahku kelu. Tak mampu berbicara lagi. Penduduk semakin bengang, lalu dengan zalimnya mereka membakar motosikal kesayanganku itu. Entah Syaitan manakah yang merasuk mereka. Kenapa dia mesti dibakar, dia tak salah. Kalau marah pun bakar saja aku, aku lebih rela. Kenapa mesti dia! Aku semakin lemah. Sendi-sendiku bertambah longlai, tak mampu lagi tegak. Aku terduduk. Tak mampu bangun lagi. Semacam lumpuh.

***

 “Saya mengaku tidak bersalah” itulah jawapan aku di neraca dunia. Mahkamah yang dilengkapi penghawa dingin itu tidak mampu menyejukkan punggung pendakwa raya yang sering cuba menuduh aku. Peguam bela? Aku tak punya wang untuk itu. Keluargaku orang susah. Tinggal di hulu. Aku ke kota sekadar mencari rezeki, cukup-cukup makan. Jadi peon. Sokongan? Siapalah aku, jiran di kampung pun orang susah. Jiran di kota? Habis semuanya meludah pada aku. Tiada lagi pembelaan dari mereka. Habis jurugambar cuba mengambil gambar aku. Aku tutup muka. Malu.

 ‘Orang yang bersalah takkan mengaku dia bersalah’. Itulah ayat yang paling aku benci. Ayat celaka itu keluar dari mulut pendakwa raya yang berkereta mahal. Dengan ayat itulah dia mendapat rezeki. Entah berapa juta tertuduh telah mendengar ayat itu yang membuatkan mereka diam bungkam. Aku telah dijerat oleh pendakwa raya. Pelanduk suci akhirnya terperangkap jua. Sedangkan banyak lagi sang kancil yang licik di luar sana.

Hakim yang duduk mengeram memanaskan punggung pun bersetuju dengan pendakwa raya. Mereka seolah-olah sebulu. Macam isi dengan kuku. Macam belangkas pun ada. Hakim telah mengeluarkan perintah supaya aku dihukum. Aku tunduk. Hati menjerit. Mahu melaung sampai satu dunia tahu yang aku tak bersalah. Tapi, aku lemah seperti penghidap AIDS. Tertekan.



Kini, aku menikmati malam pertama di dalam sangkar besi ini. Nasi kucing, air paip itu makan malam aku. Berkongsi bersama si tikus yang mahu berkenalan dengan aku. Mahu aku tanya dia kerana apa dia masuk penjara. Aku bosan. Suram. Tapi, walaupun dipenjara, aku tetap hamba-Nya. Kewajipan tetap wajib dilaksanakan. Solat, itu yang utama. Hanya doa, zikir sebagai santapan untuk aku sepanjang masa. Biar jasad kontang, rohani mesti subur. Mungkin, di sini aku bakal mati. Mati sendirian, tanpa bisikan syahadah, hadiah al-Fatihah & Yasin. Mungkin juga tulang rangka ku menjadi mainan anak-anak si tikus itu.

Kepada ibu, Eusoff minta maaf. Ibu juga tahu yang Eusoff tak bersalah. Kata-kata semangat dari ibu akan terus Eusoff pegang: Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bersabar. Aku termenung. Terus mengelamun. Persoalan timbul, siapakah dalang di sebalik konspirasi ini. Perempuan itu? Tak mungkin dia seorang. Ada lagi sang durjana yang bersubahat. Tapi, kenapa mesti aku yang jadi mangsa? Kenapa? Sampai beruban kepalaku pun mungkin masih belum mendapat jawapan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...