Thursday, February 27, 2014

Burger Chenta (Bhg. 1)

   Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an mengelap peluhnya menggunakan sehelai tuala kecil. Bahang api itu telah menyebabkan pori-pori lelaki itu mengeluarkan peluh bagi menyempurnakan proses perkumuhan. Nampaknya, dia sedang tekun memasak daging burger bagi melengkapkan satu set burger yang enak. Itulah kariernya. Dia sekadar menjaja di sebuah gerai yang serba sederhana itu. Hanya bertemankan radio buruk yang dibeli dari zaman remajanya bersama saluran Klasik Nasional memang tidak pernah diubah, hatta oleh sesiapa pun. ‘Burger Chenta’. Terpampang di hadapan gerainya tulisan yang diselaputi habuk. Huruf-huruf yang ditempeknya itu tampak tak bermaya lagi. Sudah hampir tercabut.

     Itulah kerjanya seharian, demi membesarkan seorang anak. Walaupun seorang, jerit perihnya tetap dirasai. Baginya, dengan rezeki yang dia peroleh memang cukup untuk menampung rezeki mereka anak beranak. Tiada siapa yang mahu merancang sebuah perpisahan. Anak jadi rebutan. Dia bukan tamak anak, tetapi dia mahu menjaga anaknya sendiri. Bekas isterinya sudah mempunyai dua orang anak sebelum mereka berkahwin lagi. Sudah cukuplah itu untuk dia. Habis semua mahu disapunya, dia macam mana? Dia juga mahu membesarkan zuriatnya sendiri. Abah juga punya perasaan.

         Selepas asar hingga lewat malam itulah tempoh dia bekerja. Mahu diharap duit bekas isteri, tebal mukanya mahu menerima duit belanja untuk anak mereka itu. Kalau diberi dia ambil. Orang dah ikhlas. Kalau tak diberi dia takkan minta. Dia sanggup bekerja susah payah. Untung rugi, itulah adat berniaga. Ramai orang, banyak wang. Sikit orang, sikitlah wang.

          Sebuah kereta lama jenis Ford Falcon kelihatan bergerak longlai menuju ke kawasan tepi jalan berdekatan Taman Jambu 2. Itulah kereta lelaki si penjual Burger itu. Orang setempat memanggilnya Hussin, Chen, Pak Chen, Syen ataupun Chen Burger. Sudah lama dia berniaga disitu, kira-kira beberapa bulan selepas dia berpisah dengan isterinya. Peralatan dan perkakas masak segara dikeluarkan. Dia mengelap sedikit sekitar meja gerainya. Banyak diselaputi dengan minyak. Belum sempat dapur dipanaskan, datang seorang pelanggan memesan burger jenis ‘Special Big Mek’.

        Pelanggan tadi pun duduk terpacak seketika di situ sambil memandang Chen yang baru hendak memanaskan kuali rata itu. Pelanggan itu sabar menanti burger yang dipesannya. Selepas beberapa minit, pelanggan itupun beredar setalah burger yang dipesannya itu siap. Tiba-tiba, terdengar sebuah deruan eksos seperti orang kentut. Itulah Amir bersama motosikal Honda EX5, adik bongsu Chen yang selalu membantu dia berniaga. Dialah yang setia membantu Chen berniaga. Tapi, kadang-kadang saja kerana dia masih lagi belajar. Jika ada masa lapang dia sedia membantu.




         “Hah, pukul enam dah!”. Chen tersentak melihat jamnya.

         “Amir, jaga gerai. Aku nak pergi ambil Ita kat sekolah kejap.”

         “Ok, bos.” balas Amir seringkasnya.

    Pengawal keselamatan berjalan pantas menuju ke tengah jalan. Lalu, diangkatnya papan tanda bulat bertulis ‘Berhenti’. Sedetik kemudian, melurulah murid-murid Sekolah Kebangsaan Lubuk Lela seperti perlari marathon. Seorang budak perempuan darjah tiga segera berlari ke arah Chen. Segera dia menatap wajah Chen dengan senyuman manis.

         “Macam mana sekolah hari ini, Ita” naluri kebapaan lahir dari lisan Chen.

“Tadi kan Abah, lori Milo datang. Dia bagi minum free. Sedap. Lepas tu, tiba-tiba Adib budak kelas Ita tu muntah masa dalam kelas. Tak tau kenapa.” hurai Ita setiap peristiwa menarik di sekolahnya.

“Emm, macam-macam. Jom kita balik. Malam ni Ita duduk kat rumah nenek kejap. Nanti malam Abah ambil.” pesan Chen.

“Baiklah Abah. Tapi jangan lambat-lambat.”

“Jangan risau, kan nenek ada.” balas Chen dengan ringkas tetapi bermakna.

Matahari sudah hampir terbenam di ufuk barat. Chen dan anak tunggalnya itu pun segera masuk ke dalam kereta. Dia terpaksa membiarkan Amir menguruskan seketika gerainya itu memandangkan dia akan menghantar Ita ke rumah ibunya. Tak terbalas jasa Chen atas ibunya. Dahulu, dialah yang menjaga Chen dan lima orang adik beradiknya yang lain tanpa suami tercinta disisi yang terlebih dahulu menyahut seruan Ilahi. Kini, ibunya jugalah yang menjaga, mengasuh anaknya pula di waktu dia sibuk mencari rezeki. Dia mahu saja Ita memanggil neneknya ‘ibu’ tetapi ia nampak zalim pada bekas isterinya.

“Lapar la nek. Perut Ita berbunyi ni.” keluh Ita.

“Nanti kita makan la sama-sama. Takkan lapar dah cucu nenek ni.” Mak Jah memujuk.

Di antara cucu-cucu Mak Jah, Italah yang paling dia sayang. Entah kenapa perasaannya lebih cenderung tercurah kepada Ita. Mungkin sifat ramah pada Ita yang diwarisi oleh ibunya. Ibu Ita merangkap menantunya. Mungkin dia rindu pada menantunya itu, jadi pada Ita segala-galanya dicurahkan. Sampai sekarang dia masih bingung mengapa Chen dan Kamilah bercerai. Tak disangka. Nampak elok saja. Persoalan itu terus dia biar tanpa jawapan. Malam telah lama menjelma, Ita kelihatan sudah mengantuk. Tetapi dia tetap setia menunggu ayahnya pulang.

“Bila ayah nak pulang nek, selalunya dah sampai.” bebel Ita.

“Nanti kejap dia balik la. Sabar nah sayang.” pujuk Mak Jah sambil membelai rambut Ita di atas ribaannya.

“Dah ngantuk ni nek.” mata Ita mulai menyepet.

Chen masih lagi berada di gerainya. Gerai sudah ditutup, namun ada sesuatu yang diperbincangkan dengan seorang lelaki yang berkulit putih susu. Amir dan Chen sedang tekun mendengar kata-kata lelaki itu. Mereka kelihatan berbincang sesuatu yang agak rumit. Sebab itulah Chen belum pulang lagi.

“Sejak aku kena pecat dari jadi jurujual kereta dulu, banyak masalah datang. Masalah dengan isteri, lepas tu bercerai. Masalah anak pulak. Lepas empat bulan bercerai aku buka gerai ni. Itu pun si Amir ni ada, kalau tak... ” luah Chen dengan wajah muram.

“Itulah yang aku cadang ni, kita kembangkan lagi perniagaan ini. Tempat aku ada. Kita buat gerai yang lagi besar, restoran pun boleh. ” ujar lelaki itu.

“Kita buka bisnes Angah, satu Malaysia ni kita buka cawangan. Aha. ” sampuk Amir sambil ketawa kecil.

“Alah, kau lupakan saja tentang kerja jadi supervisor di kilang ubat tu. Entah betul ke tak cakap si Jodi tu. Takkan la kau tak kenal dia. Lagi pun orang kata kilang tu ada buat ‘benda lain’. Entahlah.. “ lelaki itu berusaha memujuk Chen.

“Aku kena fikir masak-masak la Omar, ini bukan masa depan aku saja, tapi masa depan Ita juga.” Chen tampak serius.

“Ok lah aku balik dulu, dah lewat ni. Assalamualaikum.” setelah lama berbincang, akhirnya Omar mengangkat punggungnya untuk beredar.

“Waalaikumussalam.” Serentak kalimat itu keluar dari bibir Chen dan Amir.

“Aku bukan tak nak terima Amir, tetapi kau pun tahu kisah aku dulu. Aku dah fobia dengan janji manusia ni. Masa jadi jurujual dulu, aku kena tipu. Mana la aku tahu benda tu salah. Aku ikut je. Nasib baik company tak saman atau dakwa aku, kalau tak habis. Dah la Kak Milah kau tu orang law. ” Chen masih belum lagi membuat keputusan.

“Ya lah saya pun tahu, tapi dari riak wajah Omar tu, nampak dia jujur, takkan dia nak menipu kot. Kalau kita rugi, dia pun rugi jugak.” Amir cuba memujuk abangnya itu.

“Aku teringat semula peristiwa pahit tu. Masa aku kantoi ambil fail dokumen tu, bos memang nak dakwa aku. Oleh sebab Kamilah tu peguam, aku harap boleh la backup. Tapi, dia tak nak. Dia suruh aku resign tapi aku tak mahu. Jadi, terpaksalah aku bagitau bos jangan ambil legal kat aku. Dia pun pecat aku. Dari tu aku hilang kerja, jadi tak keruan..” Chen mengungkap kisah silamnya.

“Ooo.. sebab tu la Angah dan Kak Milah berpisah..” soal Amir.

“Bukan.. kau kata kau tau.” balas Chen.

“Habis tu?”

“Emmmm... suatu hari aku keluar, aku cuba la nak tenangkan sikit perasaan. Tiba-tiba aku nampak Kak Milah keluar kereta dengan seorang lelaki muda, muda dari aku. Mereka singgah di sebuah restoran, entah kenapa mata aku jadi tajam sampai hati pun rasa panas. Pada pandangan aku ketika itu, mereka nampak lain macam. Aku balik ke rumah dengan rasa yang sukar aku katakan. Sampai malam dia tak pulang, aku tunggu dengan hati aku yang tak sejuk-sejuk ni.

Memang sebelum ni aku dengan tak berapa elok dengan dia. Pasal kerja aku tu la. Macam-macam dia berleter kat aku. Tapi bukan leter biasa-biasa. Dia langsung tak beri sokongan kat aku. Asyik salahkan aku. Sampai aku hilang kerja pun dia langsung tak bagi semangat atau motivasi.

Jadi, malam tu aku tanya la dia dengan nada yang belum pernah aku gunakan dengan sapa-sapa sebelum ni. Dia cakap tu client dia, tak da apa-apa. Dia kata aku yang cemburu lebih. Dia kata lagi; “Sekurang-kurangnya saya ada kerja, awak ada kerja tapi menipu. Macam tu nak jadi suami, jadi bapa. Duit tu yang saya dan anak-anak makan selama ni? Duit tu? duit haram awak tu?” Dengan ayat tu lah aku jadi bengang, sampai tangan aku sempat singgah dekat pipinya walaupun sepantas kilat.

Entah kenapa mudah sangat tangan aku melayang. Itulah klimaks perang antara kami berdua. Dia terdiam, tak berkata apa-apa. Lalu, terus bawa Ita, Syafiq dan Amira yang tengah tidur, naik kereta dan keluar. Aku jadi bingung. Dalam tragedi itu aku tewas, aku menyerah. Aku letak jawatan sebagai suami. Tapi aku berjanji tetap bertanggungjawab sebagai seorang bapa. Sebab itulah aku nak sangat jaga Ita sampai besar, sampai dia kahwin. Aku nak tebus segala-galanya. Dah lah, malas aku nak kenang semuanya.” walaupun tampak kecewa, Chen tetap tenang menceritakan kisah silamnya.

“Panjang juga cerita Angah ni, tak pernah tau. Ya lah cerita rumahtangga orang.” komen Amir.

“Kau jangan bagi tau sapa-sapa, lebih-lebih lagi Ita. Kau sorang je yang tau ni, Mak pun tak tau. Kau lagi extra.” pesan Chen dengan wajah yang serius.


Orait, jom lah balik lambat sangat ni. Si Ita mesti dah tidur.” Amir mengajak Chen pulang setalah mengetahui rahsia abangnya itu. 




(Bersambung..............)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...