Wednesday, June 6, 2012

Coretan Kisah Benar: Mengapa Aku Dilahirkan Begini


      
 Suatu petang ada seorang remaja perempuan datang berjumpa saya tanpa temu janji. Pakaiannya sopan, bertudung bulat dan wajahnya putih bersih. Dia bertanya berbagai-bagai persoalan agama. Saya menjawab sekadar yang saya tahu.


      Dia bertanya, “Apa hukum anak zina?”


      Saya katakan, “Anak zina tidak bersalah apa-apa. Yang bersalah ibu bapanya. Anak zina tidak menanggung apa-apa dosa.”


      Dia bertanya lagi, “Apakah hubungan anak zina dengan bapanya?”


      Saya katakan, “Islam tidak mengiktiraf hubungan darah anak zina dengan bapanya. 
Bahkan bapa itu terus boleh berkahwin dengan anak zinanya.”

      Remaja itu terus bertanya, “Kalau begitu anak zina itu bukan muhrim (dengan bapanya)?”


      Saya menjawab, ”Ya. Anak itu tidak boleh mendedahkan auratnya kepada bapa (zina) walaupun di rumah, tidak boleh bersalaman apatah lagi mengucup tangannya.”


      Tiba-tiba remaja itu tunduk dan kemudian menangis semahu-mahunya. Sesiapa yang melihat pasti akan turut menangis bersamanya. Dengan sedikit kekuatan yang ada, dia mengangkat kepalanya seraya berkata, “Saya adalah anak zina”.


      Saya cuba tenangkan perasaannya. “Adakah kamu pasti? ”


      Dia menjawab, “Ya. Saya dengar dari sebelah bilik. Mak Cik bertengkar dengan mak dan ayah. Dalam keadaan marah, Mak Cik berkata, “Kamu jangan nak tunjuk baik, warak, Kak Long itu (saya) adalah anak zina.” Apabila saya mendengar kalimah itu, saya rasakan dunia ini gelap gelita. Saya menangis semahu-mahunya. Mengapa ayah dan emak lakukan begitu? ”


Kasihailah mereka yang tak berdosa terpaksa menanggung aib


“Alhamdulillah, Allah masih sayangkan saya. Saya masih hidup. Sudah kering air mata. Saya tidak dapat mengubah sejarah. Ayah dan ibu yang saya kenali, adalah orang yang baik, tidak pernah mengabaikan solat dan puasa, bahkan mereka berdua amat penyayang, ambil berat pendidikan agama anak-anak. Saya tidak percaya mereka pernah terlanjur. Tapi ini adalah hakikat.”

       Dia terus menangis dan menangis. Air mata belum dapat menggambarkan luka hatinya.


       Ambilah iktibar. Jangan menjadi ibu atau bapa kepada anak zina. Kasihanilah zuriat kita. Janganlah anak yang tidak berdosa menanggung keaiban ibu bapa mereka. Mereka tidak mahu dilahirkan sebagai anak zina. Oleh itu, jangan hampiri zina.

                                                                

p/s: “Jika remaja dapat melalui zaman remajanya yang sukar  ini dengan jaya, tidak ada lagi zaman yang lebih sukar daripada itu.”

[Dipetik dan diubahsuai dari buku, Jangan Hampiri Zina]

BACA JUGA>Jangan Hampiri Zina
                               
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...