Tuesday, March 6, 2012

Remaja Cuba Bunuh Diri Hanya Kerana Cinta





    Waktu itu saya masih muda, nafsu amarah lebih kuat daripada pertimbangan akal dan iman. Ketika baru mencecah usia 22 tahun, saya bertemu dgn seorang gadis yang benar-benar membuatkan saya dilamun cinta.

    Biarlah saya gelarkan gadis itu sebagai Noor (bukan nama sebenar), berusia 21 tahun. Kami mula berkenalan ketika bekerja secara sambilan di sebuah syarikat di Alor Gajah, Melaka. Di awal percintaan kami, saya begitu berasa bahagia.

    Noor adalah cinta pertama saya. Boleh dikatakan setiap hari, kami akan bertemu. Jika tidak berjumpa, kami pasti berhubung melalui telefon. Kadang-kadang sampai berjam-jam kami berborak di talian melepaskan rindu.

    Namun, bila usia percintaan kami mencecah dua tahun, sikap Noor mula berubah. Perkara ini mula berlaku. Apabila Noor mendapat kerja tetap di sebuah syarikat di bandar Melaka.

    Apabila saya ingin bertemu dengannya, Noor mula memberi seribu alasan. Dalam seminggu pun hanya sekali saya dapat bertemu dgnnya.

    Dia kerap kali pulang lambat dari kerjanya. Jika berbual di telefon pula, baru berborak 10 minit, Noor akan memberi alasan dia sudah mengantuk ataupun mahu menyiapkan kerja pejabat yg dibawanya balik ke rumah.

    Satu hari, seorang rakan saya memberitahu dia terserempak dgn Noor bersama seorang lelaki. Saya meminta Noor supaya menjelaskan kpd saya tentang perkara itu. Akhirnya, selepas puas didesak, Noor mengakui lelaki itu adalah kekasih barunya.

    Noor juga meminta agar memutuskan perhubungan kami. Ketika itu, saya rasakan dunia ini sudah tidak berguna lagi. Sakitnya hati saya, hanya Tuhan yg tahu.



(Gambar Hiasan)
           

    Selepas itu, hidup saya tidak tentu arah. Saya tidak ada mood untuk berkerja. Disebabkan terlalu kerap ponteng, saya dibuang kerja. Kemudian, saya mula berjinak-jinak dengan minuman keras utk menghilangkan tekanan yang dialami.


    Selama bercinta dengan Noor, saya banyak berkorban. Wang ringgit entah berapa ribu saya habiskan untuknya. Kawan-kawan saya ketepikan lantaran mengutamakan dirinya.


    Setiap kali bersendirian, air mata saya akan meleleh mengingati Noor. Saya jadi macam orang gila.


    Satu hari, mahu dijadikan cerita, saya terserempak dengan Noor di bandar Melaka bersama kekasih barunya. Kejadian itu membuatkan hati saya bertambah kecewa. Saya menjadi marah.


    Saya tidak mampu lagi mengawal perasaan. Malam itu, saya pergi ke sebuah kedai dan membeli sebotol racun rumpai. Kemudiannya, saya pulang ke rumah. Ketika itu, hanya seorang rakan saya bernama Amir yang berada di rumah, manakala yang lain-lain sudah keluar. Ketika saya pulang, Amir pula sedang tidur.


    Saya pergi ke dapur. Saya buka botol racun rumpai itu dan tenung botol tersebut dalam-dalam. Perasaan kecewa saya semakin kuat. Perasaan itu seolah-olah mendorong diri saya untuk membunuh diri.

    Fikir saya ketika itu, hanya mati sahajalah jalan untuk menamatkan sengsara akibat cinta yang saya tanggung ini. Saya yakin, bila saya sudah tiada betapa dia tahu, dalamnya cinta saya ini.


(Gambar Hiasan)


    Belum sempat setitis racun itu tertuang di dalam mulut, tiba-tiba rusuk saya dihentak kuat sehingga saya terpelanting dan terperosok ke dinding dapur. Racun rumpai di tangan saya terlepas dan bertaburan di lantai. Saya lihat Amir sedang berdiri dengan muka menyinga.


    “Apa kau buat ni!!? Kau nak bunuh diri? Pasal cinta kau nak bunuh diri kau!!? Apa, tak ada perempuan lain ke dalam dunia ni? Jangan jadi bodoh Rustam!! Jangan jadi bodoh!!,”


    Sehingga ke hari ini, masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Amir di telinga saya. Mujurlah Amir terbangun untuk ke bilik air pada masa itu. Jika tidak, sudah tentu sekarang saya sudah tidak ada lagi dalam dunia ini.

    Semenjak kejadian itu, Amir yang banyak menasihati saya. Dia selalu mengajak saya menyertainya ke ceramah-ceramah agama, kerana kata Amir, Islamlah yang dapat menjadi benteng kekuatan dalam diri kita.




    Lama-kelamaan saya mula sedar, betapa bodohnya diri saya. Saya juga mulai sedar bahawa cinta makhluk, tidak akan kemana. Cinta kepada Allah sahaja kekal abadi.

    Bila terkenangkan kembali peristiwa tersebut, saya berasa amat-amat bersyukur. Jika tidak kerana kasih sayang Allah, sudah pasti saya tergolong dalam kalangan manusia yang mendapat laknat Allah, kerana membunuh diri.



Cintailah Allah S.W.T yang Maha Kekal..


[Sumber: AL ISLAM, Disember 2008/ Zulhijjah 1429H]


RENUNGAN

·        Janganlah membunuh diri kerana ia adalah dosa besar yag akan menyebabkan seseorang itu kekal dalam neraka Jahanam selama-lamanya dengan azab seperti perlakuan dia membunuh diri tersebut.

·        Dari Abu Hurairah r.a berkata: “ Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sepotong besi, maka dengan besi yang tergenggam di tangannya itulah dia akan menikam perutnya dalam neraka Jahannam secara berterusan dan dia akan dikekalkan di dalam neraka tersebut selama-lamanya. Sesiapa yang membunuh dirinya dengan meminum racun maka dia akan merasai racun itu di dalam neraka Jahanam secara berterusan dan dia akan dikekalkan di dalam neraka selama-lamanya. Begitu juga, sesiapa yang membunuh dirinya dengan terjun dari puncak gunung, maka dia akan terjun dalam neraka Jahanam secara berterusan untuk membunuh dan dia aka kekal dalam neraka tersebut selama-lamanya.” (Hadis riwayat Muslim)





                                                         [ UNIC-Demi Cinta Suci ]
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...