Di sebuah pasar, ada seorang lelaki menjual pelbagai
jenis ikan. Lelaki itu menulis pada papan tanda di hadapan gerainya yang
berbunyi: ‘Di sini
menjual ikan segar’.
Suatu ketika, datanglah seorang pembeli ke gerainya.
Setelah membeli ikan, si pelanggan itu pun berkata: “Mengapa engkau perlu
menulis perkataan ‘di sini’ pada papan tanda itu? Sedangkan semua orang memang tahu engkau
berniaga ikan di sini, bukannya di sana!”
“Betul juga kata pelanggan itu,” fikir si
penjual ikan.
Lantas dia memadam perkataan ‘disini’ pada papan
tanda itu. Yang tinggal hanya tulisan ‘Menjual
ikan segar’.
Keesokannya, datang pula pelanggan lain. Pun sama,
pelanggan itu memberi komen tentang papan tanda tersebut. Katanya: “Mengapa
perlu tulis perkataan ‘segar’? Kan semua orang tahu yang kamu jual ikan segar, bukan ikan
busuk!”
“Betul juga katanya itu,” fikir si penjual ikan
itu lagi.
Lantas dia memadam perkataan ‘segar’ dari papan tanda
gerainya itu. Yang tinggal hanya tulisan ‘Menjual
ikan’.
Pada hari yang lain, singgah singgah seorang
pelanggan yang membeli ikan di gerainya. Pelanggan itu berkata: “Mengapa perlu
tulis perkataan ‘Menjual ikan’? Bukankah orang tahu ikan ini untuk dijual, bukan untuk
dipamerkan!”
Si penjual ikan itu mengangguk kepala, tanda setuju
dengan pendapat pelanggan itu. Lantas dia memadamkan perkataan ‘Menjual’. Tinggal sahaja
perkataan ‘Ikan’ pada papan tanda tersebut.
Keesokannya, datang pula pelanggan yang lain. Melihat
tulisan tersebut, pelanggan itu berkata: “Mengapa kau perlu tulis papan tanda ‘Ikan’? Sedangkan orang
tahu di sini memang menjual ikan, bukannya daging!
Sekali lagi, si penjual tadi bersetuju dengan pendapat
pelanggan itu. Akhirnya, dia menurunkan saja papan tanda gerainya. Tiada lagi
papan tanda tergantung di hadapan gerainya seperti selalu.
Sejak itu, si penjual ikan mula merasakan kelainan.
Pelanggannya mula berkurangan, tidak seramai dulu. Sebaliknya gerai lain yang
menjual ikan lebih mendapat sambutan hebat. Dan apa yang diperhatikannya,
peniaga-peniaga lain tetap memasang papan tanda: ‘Ikan untuk Dijual’
di hadapan gerai masing-masing.
Barulah si penjual ikan itu berfikir, apa masalahnya
jika dia terus menggantungkan papan tanda tersebut sedangkan selama ini ia
langsung tidak memberi risiko yang buruk terhadap perniagaannya.
Tetapi, sebaik sahaja dia bertindak membuang papan
tanda itu perniagaan ikannya terus merundum. Penjual ikan berfikir, mengapa dia
tidak yakin kepada kebolehan dirinya sendiri dan asyik mendengar ‘cakap-cakap’
orang yang belum pasti kebenaranya?
Pembaca sekalian, jika anda mahu memuaskan hati semua
orang, yakinlah bahawa ia sesuatu yang mustahil untuk dilakukan, bahkan ia
mungkin akan merugikan diri kita sendiri kelak. Fikir-fikirkanlah.
[Mastika,
November 2011, halaman 36 & 37]
p/s: tak perlu ikut cakap orang tentang strategi berniaga. Kalau boleh ikutlah nasihat tetapi rujuklah dengan yang pakar-pakar berniaga bukan orang yang kita tak tahu tahap ilmunya.....