Seorang lelaki berusia dalam lingkungan
40-an mengelap peluhnya menggunakan sehelai tuala kecil. Bahang api itu telah
menyebabkan pori-pori lelaki itu mengeluarkan peluh bagi menyempurnakan proses
perkumuhan. Nampaknya, dia sedang tekun memasak daging burger bagi melengkapkan
satu set burger yang enak. Itulah kariernya. Dia sekadar menjaja di sebuah
gerai yang serba sederhana itu. Hanya bertemankan radio buruk yang dibeli dari
zaman remajanya bersama saluran Klasik Nasional memang tidak pernah diubah,
hatta oleh sesiapa pun. ‘Burger Chenta’. Terpampang di hadapan gerainya tulisan
yang diselaputi habuk. Huruf-huruf yang ditempeknya itu tampak tak bermaya
lagi. Sudah hampir tercabut.
Itulah kerjanya seharian, demi
membesarkan seorang anak. Walaupun seorang, jerit perihnya tetap dirasai.
Baginya, dengan rezeki yang dia peroleh memang cukup untuk menampung rezeki
mereka anak beranak. Tiada siapa yang mahu merancang sebuah perpisahan. Anak
jadi rebutan. Dia bukan tamak anak, tetapi dia mahu menjaga anaknya sendiri.
Bekas isterinya sudah mempunyai dua orang anak sebelum mereka berkahwin lagi.
Sudah cukuplah itu untuk dia. Habis semua mahu disapunya, dia macam mana? Dia
juga mahu membesarkan zuriatnya sendiri. Abah juga punya perasaan.
Selepas asar hingga lewat malam itulah
tempoh dia bekerja. Mahu diharap duit bekas isteri, tebal mukanya mahu menerima
duit belanja untuk anak mereka itu. Kalau diberi dia ambil. Orang dah ikhlas.
Kalau tak diberi dia takkan minta. Dia sanggup bekerja susah payah. Untung
rugi, itulah adat berniaga. Ramai orang, banyak wang. Sikit orang, sikitlah
wang.
Sebuah kereta lama jenis Ford Falcon
kelihatan bergerak longlai menuju ke kawasan tepi jalan berdekatan Taman Jambu
2. Itulah kereta lelaki si penjual Burger itu. Orang setempat memanggilnya
Hussin, Chen, Pak Chen, Syen ataupun Chen Burger. Sudah lama dia berniaga
disitu, kira-kira beberapa bulan selepas dia berpisah dengan isterinya. Peralatan
dan perkakas masak segara dikeluarkan. Dia mengelap sedikit sekitar meja
gerainya. Banyak diselaputi dengan minyak. Belum sempat dapur dipanaskan,
datang seorang pelanggan memesan burger jenis ‘Special Big Mek’.
Pelanggan tadi pun duduk terpacak
seketika di situ sambil memandang Chen yang baru hendak memanaskan kuali rata
itu. Pelanggan itu sabar menanti burger yang dipesannya. Selepas beberapa
minit, pelanggan itupun beredar setalah burger yang dipesannya itu siap.
Tiba-tiba, terdengar sebuah deruan eksos seperti orang kentut. Itulah Amir
bersama motosikal Honda EX5, adik bongsu Chen yang selalu membantu dia
berniaga. Dialah yang setia membantu Chen berniaga. Tapi, kadang-kadang saja
kerana dia masih lagi belajar. Jika ada masa lapang dia sedia membantu.
“Hah, pukul enam dah!”. Chen tersentak
melihat jamnya.
“Amir, jaga gerai. Aku nak pergi ambil
Ita kat sekolah kejap.”
“Ok, bos.” balas Amir seringkasnya.
Pengawal keselamatan berjalan pantas
menuju ke tengah jalan. Lalu, diangkatnya papan tanda bulat bertulis ‘Berhenti’.
Sedetik kemudian, melurulah murid-murid Sekolah Kebangsaan Lubuk Lela seperti
perlari marathon. Seorang budak perempuan darjah tiga segera berlari ke arah
Chen. Segera dia menatap wajah Chen dengan senyuman manis.
“Macam mana sekolah hari ini, Ita”
naluri kebapaan lahir dari lisan Chen.
“Tadi
kan Abah, lori Milo datang. Dia bagi minum free.
Sedap. Lepas tu, tiba-tiba Adib budak kelas Ita tu muntah masa dalam kelas. Tak
tau kenapa.” hurai Ita setiap peristiwa menarik di sekolahnya.
“Emm,
macam-macam. Jom kita balik. Malam ni Ita duduk kat rumah nenek kejap. Nanti
malam Abah ambil.” pesan Chen.
“Baiklah
Abah. Tapi jangan lambat-lambat.”
“Jangan
risau, kan nenek ada.” balas Chen dengan ringkas tetapi bermakna.
Matahari
sudah hampir terbenam di ufuk barat. Chen dan anak tunggalnya itu pun segera
masuk ke dalam kereta. Dia terpaksa membiarkan Amir menguruskan seketika
gerainya itu memandangkan dia akan menghantar Ita ke rumah ibunya. Tak terbalas
jasa Chen atas ibunya. Dahulu, dialah yang menjaga Chen dan lima orang adik
beradiknya yang lain tanpa suami tercinta disisi yang terlebih dahulu menyahut
seruan Ilahi. Kini, ibunya jugalah yang menjaga, mengasuh anaknya pula di waktu
dia sibuk mencari rezeki. Dia mahu saja Ita memanggil neneknya ‘ibu’ tetapi ia
nampak zalim pada bekas isterinya.
“Lapar
la nek. Perut Ita berbunyi ni.” keluh Ita.
“Nanti
kita makan la sama-sama. Takkan lapar dah cucu nenek ni.” Mak Jah memujuk.
Di
antara cucu-cucu Mak Jah, Italah yang paling dia sayang. Entah kenapa
perasaannya lebih cenderung tercurah kepada Ita. Mungkin sifat ramah pada Ita
yang diwarisi oleh ibunya. Ibu Ita merangkap menantunya. Mungkin dia rindu pada
menantunya itu, jadi pada Ita segala-galanya dicurahkan. Sampai sekarang dia
masih bingung mengapa Chen dan Kamilah bercerai. Tak disangka. Nampak elok saja.
Persoalan itu terus dia biar tanpa jawapan. Malam telah lama menjelma, Ita
kelihatan sudah mengantuk. Tetapi dia tetap setia menunggu ayahnya pulang.
“Bila
ayah nak pulang nek, selalunya dah sampai.” bebel Ita.
“Nanti
kejap dia balik la. Sabar nah sayang.” pujuk Mak Jah sambil membelai rambut Ita
di atas ribaannya.
“Dah
ngantuk ni nek.” mata Ita mulai menyepet.
Chen
masih lagi berada di gerainya. Gerai sudah ditutup, namun ada sesuatu yang
diperbincangkan dengan seorang lelaki yang berkulit putih susu. Amir dan Chen
sedang tekun mendengar kata-kata lelaki itu. Mereka kelihatan berbincang
sesuatu yang agak rumit. Sebab itulah Chen belum pulang lagi.
“Sejak
aku kena pecat dari jadi jurujual kereta dulu, banyak masalah datang. Masalah
dengan isteri, lepas tu bercerai. Masalah anak pulak. Lepas empat bulan
bercerai aku buka gerai ni. Itu pun si Amir ni ada, kalau tak... ” luah Chen
dengan wajah muram.
“Itulah
yang aku cadang ni, kita kembangkan lagi perniagaan ini. Tempat aku ada. Kita
buat gerai yang lagi besar, restoran pun boleh. ” ujar lelaki itu.
“Kita
buka bisnes Angah, satu Malaysia ni
kita buka cawangan. Aha. ” sampuk Amir sambil ketawa kecil.
“Alah,
kau lupakan saja tentang kerja jadi supervisor
di kilang ubat tu. Entah betul ke tak cakap si Jodi tu. Takkan la kau tak kenal
dia. Lagi pun orang kata kilang tu ada buat ‘benda lain’. Entahlah.. “ lelaki
itu berusaha memujuk Chen.
“Aku
kena fikir masak-masak la Omar, ini bukan masa depan aku saja, tapi masa depan
Ita juga.” Chen tampak serius.
“Ok
lah aku balik dulu, dah lewat ni. Assalamualaikum.” setelah lama berbincang,
akhirnya Omar mengangkat punggungnya untuk beredar.
“Waalaikumussalam.”
Serentak kalimat itu keluar dari bibir Chen dan Amir.
“Aku
bukan tak nak terima Amir, tetapi kau pun tahu kisah aku dulu. Aku dah fobia
dengan janji manusia ni. Masa jadi jurujual dulu, aku kena tipu. Mana la aku
tahu benda tu salah. Aku ikut je. Nasib baik company tak saman atau dakwa aku, kalau tak habis. Dah la Kak Milah
kau tu orang law. ” Chen masih belum
lagi membuat keputusan.
“Ya
lah saya pun tahu, tapi dari riak wajah Omar tu, nampak dia jujur, takkan dia
nak menipu kot. Kalau kita rugi, dia pun rugi jugak.” Amir cuba memujuk
abangnya itu.
“Aku
teringat semula peristiwa pahit tu. Masa aku kantoi ambil fail dokumen tu, bos
memang nak dakwa aku. Oleh sebab Kamilah tu peguam, aku harap boleh la backup. Tapi, dia tak nak. Dia suruh aku
resign tapi aku tak mahu. Jadi,
terpaksalah aku bagitau bos jangan ambil legal
kat aku. Dia pun pecat aku. Dari tu aku hilang kerja, jadi tak keruan..” Chen
mengungkap kisah silamnya.
“Ooo..
sebab tu la Angah dan Kak Milah berpisah..” soal Amir.
“Bukan..
kau kata kau tau.” balas Chen.
“Habis
tu?”
“Emmmm...
suatu hari aku keluar, aku cuba la nak tenangkan sikit perasaan. Tiba-tiba aku
nampak Kak Milah keluar kereta dengan seorang lelaki muda, muda dari aku.
Mereka singgah di sebuah restoran, entah kenapa mata aku jadi tajam sampai hati
pun rasa panas. Pada pandangan aku ketika itu, mereka nampak lain macam. Aku
balik ke rumah dengan rasa yang sukar aku katakan. Sampai malam dia tak pulang,
aku tunggu dengan hati aku yang tak sejuk-sejuk ni.
Memang
sebelum ni aku dengan tak berapa elok dengan dia. Pasal kerja aku tu la.
Macam-macam dia berleter kat aku. Tapi bukan leter biasa-biasa. Dia langsung
tak beri sokongan kat aku. Asyik salahkan aku. Sampai aku hilang kerja pun dia
langsung tak bagi semangat atau motivasi.
Jadi,
malam tu aku tanya la dia dengan nada yang belum pernah aku gunakan dengan
sapa-sapa sebelum ni. Dia cakap tu client
dia, tak da apa-apa. Dia kata aku yang cemburu lebih. Dia kata lagi; “Sekurang-kurangnya saya ada kerja, awak ada
kerja tapi menipu. Macam tu nak jadi suami, jadi bapa. Duit tu yang saya dan anak-anak
makan selama ni? Duit tu? duit haram awak tu?” Dengan ayat tu lah aku jadi
bengang, sampai tangan aku sempat singgah dekat pipinya walaupun sepantas
kilat.
Entah
kenapa mudah sangat tangan aku melayang. Itulah klimaks perang antara kami
berdua. Dia terdiam, tak berkata apa-apa. Lalu, terus bawa Ita, Syafiq dan
Amira yang tengah tidur, naik kereta dan keluar. Aku jadi bingung. Dalam
tragedi itu aku tewas, aku menyerah. Aku letak jawatan sebagai suami. Tapi aku
berjanji tetap bertanggungjawab sebagai seorang bapa. Sebab itulah aku nak
sangat jaga Ita sampai besar, sampai dia kahwin. Aku nak tebus segala-galanya.
Dah lah, malas aku nak kenang semuanya.” walaupun tampak kecewa, Chen tetap
tenang menceritakan kisah silamnya.
“Panjang
juga cerita Angah ni, tak pernah tau. Ya lah cerita rumahtangga orang.” komen
Amir.
“Kau
jangan bagi tau sapa-sapa, lebih-lebih lagi Ita. Kau sorang je yang tau ni, Mak
pun tak tau. Kau lagi extra.” pesan
Chen dengan wajah yang serius.
“Orait, jom lah balik lambat sangat ni.
Si Ita mesti dah tidur.” Amir mengajak Chen pulang setalah mengetahui rahsia
abangnya itu.
(Bersambung..............)