Sangkar besi, sangkar itu berisi manusia. Banyak juga insan
di dalamnya. Aku adalah sebahagian darinya. Aku mempunyai seribu satu kisahku
yang tersendiri. Sangkar ini sudah mula menjadi rumah kedua bagiku. Aku mesti
membiasakan diri disini. Makan, minum, mandi sudah berubah. Solat? Aku solat
seperti dahulu, tetapi dalam keadaan yang berbeza. Dulu, sejadah empuk,
sekarang? Tiada. Wajah insan tersayang? Hendak tatap gambar pun tiada. Hanya
mampu melihat wajah tersebut dalam minda. Pandangan mataku menerobos tembok
besi itu seolah-olah mampu melihat dunia luar. Hakikatnya, mataku telah buta
dari semua itu. Mahu berhubung dengan dunia luar? Hanya mampu mencipta teman
imaginasi untuk berbicara dan berborak. Nampak seperti gila.
Fitrahnya, orang yang menempah tempat disini selalunya
pernah melakukan perkara yang menyalahi undang-undang. Tapi, aku lain sekali.
Songsang. Penjenayah atau penyelamat? Aku adalah di antara kedua-dua tersebut.
Serba subjektif. Mana satu aku. Perkara apakah yang aku lakukan? Aku dikatakan
penjenayah. Mahkamah yang melabelkan aku sedemikian rupa. Jiran, keluarga dan
sahabat aku menjadi peguam bela yang terbaik. Penjenayahkah aku?
Bagiku, negaraku adalah penjara. Penjara adalah negaraku. Hidup
bawah payung tirani. Amat menyeksakan. Hairarki sosial dikuasai cicit-cicit
firaun. Kejam. Masyarakat yang lebih tahu menghukum dari mengadili. Amat
sedikit aku berbicara, namun dikata seolah-olah sejuta fitnah telah aku
lontarkan. Aku ibarat bomba yang ingin menyelamatkan mangsa kebakaran. Namun,
aku ditolak ke jurang api oleh mangsa yang telah aku selamatkan. Lebih kurang
begitulah secara analoginya.
Mengimbas kembali tragedi sial itu, aku begitu mengharapkan
yang dunia ini menjadi lebih indah. Indah dari sesuatu yang keji. Ingin aku
menerangi dunia ini walaupun hakikatnya diriku tak ubah seperti sang
kelip-kelip.
Di kala rembulan kian menipis dari membulat diadun dengan
gelita yang tak bercahaya. Aku menunggang sebuah motosikal yang baru ku beli,
tak sampai tiga bulan. Masih berkilat lagi. Motosikal itu ku tunggang dengan
cermat selepas pulang dari solat isyak di surau. Aku melalui jalan di sebuah
taman perumahan. Kawasan disitu tampak sedikit bercahaya, memandangkan
penghuninya masih belum melelapkan mata lagi. Kemudian, aku melalui satu lorong
yang tak berturap. Jalan itu gelap, tak ada sebarang cahaya. Hanya kedengaran
melodi nyanyian katak sebagai tanda rindu kepada hujan.
Tiba-tiba, jantungku hampir luruh tatkala mendengar jeritan
seorang perempuan meminta tolong. Jantungku makin berdegup kencang, menambahkan
lagi tekanan darah dalam tubuhku. Setelah mendengar keputusan akhir dari benak
hatiku, aku beranikan diri ini jua. Aku segera turun dari motosikal
kesayanganku itu. Aku mencari jeritan itu di tengah pekat malam. Mujur aku
punya telefon bimbit yang mempuyai lampu khas. Aku masih lagi mencari jeritan
itu bimbang ia ditelan gelita yang bertaring durjana.
Alangkah terkejutnya aku setelah melihat seorang perempuan
cuba dinodai seorang jantan celaka. Berperisaikan semangat keberanian, aku
segera menyerang lelaki itu dengan kudrat yang aku ada. Biarkan apa saja
terjadi padaku, asal perempuan itu selamat. Aku menyergah lelaki itu sebagai
ucapan salam. Lalu, aku menjamu dengan beberapa buah tumbukan yang lazat ke arah
kepalanya. Disusuli pula dengan tendangan padu menuju ke punggungnya. Kerana
ketajaman buah serangan aku itu, maka lelaki itu pun beredar.
Aku cuba mendekati perempuan itu. Menanyakan tentang
keadaannya. Namun, dia kata, dia tidak apa-apa. Aku cuba membantunya seupaya
mungkin. Aku mengajaknya untuk ke hospital. Dia tidak mahu. Aku cadang ke balai
polis. Lagi dia tak mahu. Takut, malu dan segan katanya. Aku dapat meneka
bagaimana rasa hatinya. Aku menawarkan diri untuk menemaninya pulang. Sedu
tangisannya makin meninggi pula. Dia takut untuk pulang ke rumah. Lalu, mahu
kemana? Rumahku? Jangan... Jangan. Aku tinggal seorang, mana boleh. Mulut
manusia amat berbisa. Bahaya.
Gadis itu seolah-olah mampu membaca bisik hatiku. Dia mahu
pulang ke rumah aku kalau boleh. Namun, aku dengan tegasnya tidak mengizinkan.
Aku tinggal seorang. Tak boleh. Dia mengangguk kepala segabai simbolik setelah
memahaminya. Mungkin dia fikir aku tinggal dengan ibuku. Setelah termenung
panjang, gadis itu memberitahu aku supaya membawanya ke rumah bapa saudaranya
dengan segera. Agak jauh sedikit katanya. Dia akan ke hospital dan membuat
laporan polis setelah memberitahu hal ini kepada bapa saudaranya. Aku segera
berbuat demikian kerana tidak mahu membuang masa. Biarlah mereka selesaikannya.
Setelah menikmati kesejukan bayu malam yang terhasil dari
gerakan motosikal, kami telah sampai ke rumah bapa saudaranya. Aku melihat ke
dalam rumah itu. Sunyi. Katanya, mungkin Pak Ngahnya ke masjid, belum pulang.
Dia menyuruh aku pulang. Tapi aku bimbang segala kronolgi tragedi itu
disembunyikan olehnya. Mungkin juga dia boleh menguruskan segalanya. Ku letakkan
sejuta harapan ke atasnya.
***
Menikmati malam yang segar. Aku duduk bersandar diatas sofa
yang empuk tapi nampak usang. Walaupun hakikatnya aku orang muda. Tapi ini gaya
hidup sang bujang. Aku mengimbas kembali tragedi semalam. Merenung sejenak.
Ketika merenung jauh sedalam-dalamnya, aku dikejutkan dengan ketukan pintu yang
kuat. Seperti mahu memecahkan pintu itu.
Alangkah terkejutnya aku melihat penduduk setempat mengepung rumah aku. Aku tergamam. Apa yang telah aku buat. Dengan wajah yang berkerut dan merah padam, seorang lelaki muda bertanya kepada aku:
“Apa kau buat dengan budak perempuan ini”.
“Ooo.. semalam dia hampir di rogol. Jadi saya..”
“Ahh jangan nak buat cerita”. Dia memintas penjelasan aku.
“Mina, apa yang jantan ni buat pada kau.” Dia menyoal gadis
tersebut.
Luluh, hancur hatiku ini setelah mendengar penjelasan palsu
dari perempuan itu. Aku yang cuba menyelamatkannya tetapi ini yang aku terima.
Aku yang dituduh membuat perkara terkutuk itu. Aku cuba memberi penjelasan,
namun aku dijamu dengan pukulan padu oleh penduduk. Sakit. Lagi sakit hati aku
ini. Aku dikatakan teman lelakinya, walhal aku langsung tak kenal dia. Tengok
muka dia sebelum ni pun aku tak pernah.
Pada mulut perempuan itu penuh durjana, dia cuba menambah
rasa lagi dengan mengatakan aku ada menyimpan dadah. Aku bertambah terkejut.
Kali ini aku perlu mempertahankan diri. Aku tak boleh diam lagi. Aku melemparkan
beberapa hujah untuk menangkis fitnah itu. Namun, jiwa penduduk yang telah dipukau
oleh perempuan itu langsung tidak mempercayai kata-kataku. Hanya perisa
tambahan sepak terajang yang aku dapat. Motosikal kesayanganku itu dirobek,
untuk mencari benda najis itu. Dengan kasarnya mereka membuka. Setelah dibuka
memang ternyata ia mempunyai dadah itu.
Mataku terbeliak. Tidak percaya. Mulutku ternganga. Lidahku
kelu. Tak mampu berbicara lagi. Penduduk semakin bengang, lalu dengan zalimnya
mereka membakar motosikal kesayanganku itu. Entah Syaitan manakah yang merasuk
mereka. Kenapa dia mesti dibakar, dia tak salah. Kalau marah pun bakar saja
aku, aku lebih rela. Kenapa mesti dia! Aku semakin lemah. Sendi-sendiku
bertambah longlai, tak mampu lagi tegak. Aku terduduk. Tak mampu bangun lagi.
Semacam lumpuh.
***
“Saya mengaku tidak
bersalah” itulah jawapan aku di neraca dunia. Mahkamah yang dilengkapi penghawa
dingin itu tidak mampu menyejukkan punggung pendakwa raya yang sering cuba
menuduh aku. Peguam bela? Aku tak punya wang untuk itu. Keluargaku orang susah.
Tinggal di hulu. Aku ke kota sekadar mencari rezeki, cukup-cukup makan. Jadi
peon. Sokongan? Siapalah aku, jiran di kampung pun orang susah. Jiran di kota?
Habis semuanya meludah pada aku. Tiada lagi pembelaan dari mereka. Habis
jurugambar cuba mengambil gambar aku. Aku tutup muka. Malu.
‘Orang yang bersalah
takkan mengaku dia bersalah’. Itulah ayat yang paling aku benci. Ayat celaka itu
keluar dari mulut pendakwa raya yang berkereta mahal. Dengan ayat itulah dia
mendapat rezeki. Entah berapa juta tertuduh telah mendengar ayat itu yang
membuatkan mereka diam bungkam. Aku telah dijerat oleh pendakwa raya. Pelanduk
suci akhirnya terperangkap jua. Sedangkan banyak lagi sang kancil yang licik di
luar sana.
Hakim yang duduk mengeram memanaskan punggung pun bersetuju
dengan pendakwa raya. Mereka seolah-olah sebulu. Macam isi dengan kuku. Macam
belangkas pun ada. Hakim telah mengeluarkan perintah supaya aku dihukum. Aku
tunduk. Hati menjerit. Mahu melaung sampai satu dunia tahu yang aku tak bersalah.
Tapi, aku lemah seperti penghidap AIDS. Tertekan.
Kini, aku menikmati malam pertama di dalam sangkar besi
ini. Nasi kucing, air paip itu makan malam aku. Berkongsi bersama si tikus yang
mahu berkenalan dengan aku. Mahu aku tanya dia kerana apa dia masuk penjara.
Aku bosan. Suram. Tapi, walaupun dipenjara, aku tetap hamba-Nya. Kewajipan
tetap wajib dilaksanakan. Solat, itu yang utama. Hanya doa, zikir sebagai
santapan untuk aku sepanjang masa. Biar jasad kontang, rohani mesti subur.
Mungkin, di sini aku bakal mati. Mati sendirian, tanpa bisikan syahadah, hadiah
al-Fatihah & Yasin. Mungkin juga tulang rangka ku menjadi mainan anak-anak
si tikus itu.
Kepada ibu, Eusoff minta maaf. Ibu juga tahu yang Eusoff
tak bersalah. Kata-kata semangat dari ibu akan terus Eusoff pegang: Sesungguhnya Allah bersama dengan
orang-orang yang bersabar. Aku termenung. Terus mengelamun. Persoalan
timbul, siapakah dalang di sebalik konspirasi ini. Perempuan itu? Tak mungkin
dia seorang. Ada lagi sang durjana yang bersubahat. Tapi, kenapa mesti aku yang
jadi mangsa? Kenapa? Sampai beruban kepalaku pun mungkin masih belum mendapat
jawapan.
p/s: Mohon maaf sekiranya cerita ini terdapat kekurangan ataupun anda berpendapat seolah tidak berdiri pada paksi logik.
p/s: Mohon maaf sekiranya cerita ini terdapat kekurangan ataupun anda berpendapat seolah tidak berdiri pada paksi logik.