Waktu itu saya masih muda, nafsu amarah lebih
kuat daripada pertimbangan akal dan iman. Ketika baru mencecah usia 22 tahun,
saya bertemu dgn seorang gadis yang benar-benar membuatkan saya dilamun cinta.
Biarlah saya gelarkan gadis itu sebagai Noor
(bukan nama sebenar), berusia 21 tahun. Kami mula berkenalan ketika bekerja
secara sambilan di sebuah syarikat di Alor Gajah, Melaka. Di awal percintaan
kami, saya begitu berasa bahagia.
Noor adalah cinta pertama saya. Boleh dikatakan
setiap hari, kami akan bertemu. Jika tidak berjumpa, kami pasti berhubung
melalui telefon. Kadang-kadang sampai berjam-jam kami berborak di talian
melepaskan rindu.
Namun, bila usia percintaan kami mencecah dua
tahun, sikap Noor mula berubah. Perkara ini mula berlaku. Apabila Noor mendapat
kerja tetap di sebuah syarikat di bandar Melaka.
Apabila saya ingin bertemu dengannya, Noor mula
memberi seribu alasan. Dalam seminggu pun hanya sekali saya dapat bertemu
dgnnya.
Dia kerap kali pulang lambat dari kerjanya.
Jika berbual di telefon pula, baru berborak 10 minit, Noor akan memberi alasan
dia sudah mengantuk ataupun mahu menyiapkan kerja pejabat yg dibawanya balik ke
rumah.
Satu hari, seorang rakan saya memberitahu dia
terserempak dgn Noor bersama seorang lelaki. Saya meminta Noor supaya
menjelaskan kpd saya tentang perkara itu. Akhirnya, selepas puas didesak, Noor
mengakui lelaki itu adalah kekasih barunya.
Noor juga meminta agar memutuskan perhubungan
kami. Ketika itu, saya rasakan dunia ini sudah tidak berguna lagi. Sakitnya
hati saya, hanya Tuhan yg tahu.
(Gambar Hiasan) |
Selepas itu, hidup saya tidak tentu arah. Saya tidak ada mood untuk berkerja. Disebabkan terlalu
kerap ponteng, saya dibuang kerja. Kemudian, saya mula berjinak-jinak dengan
minuman keras utk menghilangkan tekanan yang dialami.
Selama bercinta dengan Noor, saya banyak
berkorban. Wang ringgit entah berapa ribu saya habiskan untuknya. Kawan-kawan
saya ketepikan lantaran mengutamakan dirinya.
Setiap kali bersendirian, air mata saya akan
meleleh mengingati Noor. Saya jadi macam orang gila.
Satu hari, mahu dijadikan cerita, saya
terserempak dengan Noor di bandar Melaka bersama kekasih barunya. Kejadian itu
membuatkan hati saya bertambah kecewa. Saya menjadi marah.
Saya tidak mampu lagi mengawal perasaan. Malam
itu, saya pergi ke sebuah kedai dan membeli sebotol racun rumpai. Kemudiannya,
saya pulang ke rumah. Ketika itu, hanya seorang rakan saya bernama Amir yang
berada di rumah, manakala yang lain-lain sudah keluar. Ketika saya pulang, Amir
pula sedang tidur.
Saya pergi ke dapur. Saya buka botol racun
rumpai itu dan tenung botol tersebut dalam-dalam. Perasaan kecewa saya semakin
kuat. Perasaan itu seolah-olah mendorong diri saya untuk membunuh diri.
Fikir saya ketika itu, hanya mati sahajalah
jalan untuk menamatkan sengsara akibat cinta yang saya tanggung ini. Saya
yakin, bila saya sudah tiada betapa dia tahu, dalamnya cinta saya ini.
(Gambar Hiasan) |
Belum sempat setitis racun itu tertuang di dalam mulut, tiba-tiba
rusuk saya dihentak kuat sehingga saya terpelanting dan terperosok ke dinding
dapur. Racun rumpai di tangan saya terlepas dan bertaburan di lantai. Saya
lihat Amir sedang berdiri dengan muka menyinga.
“Apa kau buat ni!!? Kau nak bunuh diri? Pasal
cinta kau nak bunuh diri kau!!? Apa, tak ada perempuan lain ke dalam dunia ni?
Jangan jadi bodoh Rustam!! Jangan jadi bodoh!!,”
Sehingga ke hari ini, masih terngiang-ngiang
lagi kata-kata Amir di telinga saya. Mujurlah Amir terbangun untuk ke bilik air
pada masa itu. Jika tidak, sudah tentu sekarang saya sudah tidak ada lagi dalam
dunia ini.
Semenjak kejadian itu, Amir yang banyak
menasihati saya. Dia selalu mengajak saya menyertainya ke ceramah-ceramah
agama, kerana kata Amir, Islamlah yang dapat menjadi benteng kekuatan dalam
diri kita.
Lama-kelamaan saya mula sedar, betapa bodohnya
diri saya. Saya juga mulai sedar bahawa cinta makhluk, tidak akan kemana. Cinta
kepada Allah sahaja kekal abadi.
Bila terkenangkan kembali peristiwa tersebut,
saya berasa amat-amat bersyukur. Jika tidak kerana kasih sayang Allah, sudah
pasti saya tergolong dalam kalangan manusia yang mendapat laknat Allah, kerana
membunuh diri.
Cintailah Allah S.W.T yang Maha Kekal.. |
[Sumber: AL ISLAM, Disember 2008/
Zulhijjah 1429H]
RENUNGAN
· Janganlah membunuh diri kerana ia
adalah dosa besar yag akan menyebabkan seseorang itu kekal dalam neraka Jahanam
selama-lamanya dengan azab seperti perlakuan dia membunuh diri tersebut.
· Dari Abu Hurairah r.a berkata: “
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa
yang membunuh dirinya dengan sepotong besi, maka dengan besi yang tergenggam di
tangannya itulah dia akan menikam perutnya dalam neraka Jahannam secara
berterusan dan dia akan dikekalkan di dalam neraka tersebut selama-lamanya.
Sesiapa yang membunuh dirinya dengan meminum racun maka dia akan merasai racun
itu di dalam neraka Jahanam secara berterusan dan dia akan dikekalkan di dalam
neraka selama-lamanya. Begitu juga, sesiapa yang membunuh dirinya dengan terjun
dari puncak gunung, maka dia akan terjun dalam neraka Jahanam secara berterusan
untuk membunuh dan dia aka kekal dalam neraka tersebut selama-lamanya.” (Hadis riwayat Muslim)
[ UNIC-Demi Cinta Suci ]