(Gambar Hiasan)
Timbalan Pengerusi Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Karamunting,
maut setelah kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabit dalam nahas
jalan raya di Kilometer 16, Jalan Labuk di Simpang Jalan Seguntor, Sandakan,
Jumaat. Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Jacky Chan Che
Kwok, 50, meninggal dunia di tempat kejadian setelah kenderaannya dirempuh oleh
sebuah lori tangki minyak ketika keluar dari simpang Seguntor.
Ketua Polis Daerah, ACP Rowell Marong berkata ketika kejadian
mangsa mengikuti konvoi empat buah kereta yang mengiringi rombongan Anggota
Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin.
Katanya kereta mangsa berada di belakang konvoi itu ketika keluar
dari simpang itu tetapi gagal mengelak lori tangki minyak yang menuju ke arah
bandar Sandakan.
Katanya, jurugambar Anggota Parlimen itu, Chang Kim Fah, berusia
dalam lingkungan 30-an, yang menaiki kenderaan mangsa turut mengalami
kecederaan parah dan sedang menjalani rawatan di Hospital Duchess of Kent di
sini.-Bernama