Selepas dibincangkan
sebahagian berkaitan dengan kekuasaan Allah SWT di mana boleh melakukan apa
sahaja. Maka Allah SWT mengukuhkan lagi penghujahan dan alasan bagaimana
kuasa-Nya Allah SWT tanpa boleh ditolak banding dan dipertikaikan lagi.
Firman Allah SWT: Tidakkah
diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan
bumi (yang demikian besarnya) berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana
ia menciptakan mereka dahulu? Ya! diakui dan dipercayai berkuasa! dan Dia-lah
Pencipta yang tidak ada bandingan-Nya, lagi Yang Maha mengetahui. (Yasin: 81)
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT berfirman mengkhabarkan dan mengingatkan kita
tentang kekuasaan-Nya yang agung dalam menciptakan tujuh lapis langit dan yang
terkandung di dalamnya berupa bintang-bintang yang beredar dan tetap, serta
mencipta tujuh lapis bumi dan apa yang terkandung di dalamnya berupa
gunung-gunung, batu-batuan, lautan, hutan dan isinya. Dia pun mengarahkan untuk
mengambil dalil tentang dikembalikannya jasad-jasad dengan penciptaan sesuatu
yang agung ini."
Al-Maraghi
berkata: "Allah SWT
memperingatkan manusia, bahawa Dia mampu mencipta tujuh petala langit berserta
bintang dan lain-lainnya serta bumi dengan segala isinya. Allah SWT juga
memperingatkan bahawa Dia yang berkuasa mencipta alam semesta yang amat besar
itu, sudah tentu Dia berkuasa mengembalikan semua tulang-temulang manusia yang
hancur menjadi seperti sediakala."
Sayid Qutub berkata: "Itulah
matahari-matahari yang tidak tdrhitung banyaknya. Setiap matahari mempunyai
jalan peredarannya masing-masing dan kebanyakannya mempunyai planet-planet
pengikut yang beredar di sekelilingnya seperti bumi beredar di sekeliling
matahari kita."
Semuanya
beredar dan berlari dengan tepat dan tetap, tidak pernah berhenti sesaat pun
dan tidak pernah kacau. Jika tidak, alam ini akan binasa dan bintang-bintang
yang besar yang terapung-apung di angkasa itu akan berlanggaran satu sama lain.
Angkasa raya menjadi tempat terapung-apung jutaan bintang yang tidak terbilang
itu adalah di luar keupayaan kita untuk menggambarkan dan memahaminya. Ia
merupakan sesuatu yang memeningkan kepala manusia.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya
keadaan kekuasaannya apabila ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah ia
berfirman kepada (hakikat) benda itu: Jadilah engkau!" Maka ia terus
menjadi. (Yasin:82)
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu, Dia memerintahkan kepada sesuatu hanya dengan satu
perintah, tidak perlu pengulangan dan penguat seperti kata penyair, Jika
Allah menghendaki satu perintah, Dia hanya mengatakan satu perkataan, Jadi,
maka ia pun jadi."
Al-Maraghi berkata: "Ayat di atas
menunjukkan betapa agungnya kekuasaan Allah SWT sehingga jika Dia menghendaki
sesuatu, ketika itu juga boleh terjadi. Setelah menjelaskan akan keagungan
kekuasaan-Nya, Allah SWT kemudian menyucikan diri-Nya daripada segala tohmahan
batil orang musyrik."
Syed Qutub berkata: "Sama ada sesuatu itu langit atau bumi, lalat atau semut semuanya
sama sahaja di hadapan kalimat ‘kun’ dan semuanya akan terus muncul ke alam
al-wujud. Di sana tiada yang mudah dan tiada yang payah, tiada yang dekat dan
tiada yang jauh."
Sebaik sahaja wujudnya iradat Allah SWT untuk
menciptakan sesuatu sudah cukup untuk mewujudkan biarpun apa sahaja sesuatu
itu. Allah hanya mendekatkan gambaran ulasan penciptaan itu kepada manusia
supaya mereka dapat memahaminya dengan ukuran manusia yang terbatas.
nice one... wat bnyak2 ckit cita2... cmni...
ReplyDelete