Firman Allah SWT: Kepada
Tuhannyalah mereka melihat.
(Surah al Qiyamah:23)
Ibnu Kathir berkata: Iaitu melihat pendapat secara langsung.
Inilah juga pendapat ahli Sunnah Wal Jamaah di mana melihat Allah s.w.t adalah
perkara yang tidak syak padanya berdasarkan hadis-hadis yang sahih antaranya
seperti yang dinyatakan oleh Ibnu al-Jauzi melalui kitabnya al-Mughni dan al-Hadaiq.
Sayid Qutub berkata: Mengapa pula tidak berseri-seri sedangkan
mereka memandang keindahan wajah Tuhan mereka? Apabila seseorang melihat
keindahan ciptaan Allah di bumi seperti keindahan mayang-mayang, keindahan
kembang mekar, keindahan sayap-sayap yang mengepak, keindahan jiwa yang luhur
dan perbuatan yang baik, maka perasaan bahagia yang membanjiri hatinya akan
melimpah kepada wajahnya dan membuat wajahnya berseri-seri.
Jadi bagaimana pula nanti wajahnya akan berseri-seri jika mereka
memandang keindahan Allah Yang Maha Sempurna dalam suasana yang bebas daripada
segala gangguan yang wujud di alam buana?
Manusia tidak mencapai darjah ini melainkan apabila ia bersih
daripada segala gangguan yang menghalanginya daripada sampai ke darjah yang
sukar dikhayalkan ini, iaitu bukan sahaja bersih daripada gangguan-gangguan
yang wujud disekelilingnya tetapi juga bersih daeripada gangguan-gangguan dalam
dirinya sendiri, yang berbentuk keinginan kepada sesuatu kenikmatan yang lain
daripada kenikmatan melihat Allah.
Firman Allah SWT: Dan
wajah-wajah (orang kafir) pada hari itu muram. (Surah al-Qiyamah:24)
Ibnu Khatir berkata: Itulah wajah orang-orang yang jahat yang mana
pada hari kiamat wajah-wajah tersebut menjadi muram.
Ini disebabkan amalan mereka yang buruk di dunia dahulu,
natijahnya mereka benar-benar sesal, takut, keluh kesah dan amat bimbang atas
perbuatan mereka di mahkamah Allah SWT pada hari akhirat.
Firman Allah SWT: Mereka
yang bahawa akan ditimpakan kepadanya malapeteka yang amat dahsyat. (Surah al-Qiyamah:ayat 25)
Mujahid berkata: Iaitu malapetaka.
Qatadah berkata: Iaitu keburukan.
Sayid Qutub antara lain berkata: Dosa yang mereka lakukan
menyebabkan mereka berdukacita, muram dan masam sehingga ternanti-nanti
malapetaka yang dahsyat yang boleh mematahkan tulang mereka akan ditimpa ke
atas mereka.
Semoga kita tergolong dalam golongan yang mendapat rahmat dan
nikmat daripada Allah SWT yang melayakkan kita menghuni syurga-Nya. Amin.