Tahukah anda sampai hari ini masyarakat Eropah percaya, burung
cenderawasih adalah burung syurga. Mengikut nama saintifik, burung cenderawasih
ditulis debagai genus Paradisea. Mengikut beberapa rekod pelayaran, masyarakat
Eropah mengklasifikasikan nama burung itu sebagai genus syurga kerana burung
itu dipersembahkan tanpa kaki. Mengikut beberapa catatan, pada tahun 1522, ahli
pelayaran Antonio Pigafetta dan Fernando de Magelhanes menjadi invidu pertama
membawa burung berkenaan ke Eropah. Mengikut rekod, Antonio Pigafetta telah
mempersembahkan burung ini sebaga hadiah kepada raja Sepanyol.
Oleh sebab bulu burung ini yang sangat cantik, ia kemudiannya
menjadi barang dagangan di Eropah. Bagi meninggikan lagi nilainya di kalangan
masyarakat, para pedagang menyebarkan kisah kononnya burung ini berasal dari
syurga dan hanya terbang di udara tanpa berhenti hinggalah ia mati. Sebab
itulah kakinya tiada.
Kisah itu lama-kelamaan menjadi pegangan masyarakat termasuk para
pengkaji haiwan era 1500. Sebenarnya, para pedagang telah memotong kaki burung
ini sebelum dihantar ke Eropah. Ini kerana para pedagang ini percaya, kaki
burung cenderawasih boleh menyebabkan bulunya rosak. Jadi bagi mengelakkan
perkara ini berlaku, mereka telah memotong kaki burung ini dan menyebarkan
kisah kononnya ia berasal dari syurga.