Secebis Kisah Kenikmatan di dalam Syurga
Sesungguhnya di dalam syurga
itu berupa sesuatu yang belum pernah di lihat oleh mata, belum pernah terdengar
oleh telinga dan belum pernah terlintas oleh hati manusia. Ahli syurga bagaikan
raja bersenang-lenang dengan penuh kenikmatan sedangkan umur mereka seusia
dengan putera. Usia mereka kekal selamanya 33 tahun yakni seusia ketika nabi
Isa AS di angkat ke langit, manakala tinggi mereka pula setinggi nabi Adam AS
yakni setinggi 60 hasta dan dalamnya lintang 7 hasta.
Mereka sangat kacak dan suara
mereka sangat merdu. Mata mereka seakan bercelak, putih kulitnya, tiada berbulu
badannya kecuali di kepala (kerinting rambutnya), alis dan kelopak mata. Sedang
janggut, misai, ketiak dan kemaluan licin tidak berbulu. Mereka tidak kencing
dan tidak buang air besar, tidak berludah dan tidak berhingus dan peluh mereka
berbau kasturi.
Bejana (bekas air) mereka dari
emas dan perak, sisir rambut mereka dari emas, kayu bakar mereka dari kayu
gahru yang harum (kayu kemenyan). Mereka sentiasa merasa aman dari azab. Hati
mereka sentiasa bersatu dan tidak pernah berselisih dan benci membenci antara
sesama mereka.
Mereka diberi pakaian dari
sutera halus yang hijau dan tebal lagi tidak akan reput atau lusuh. Di kepala
mereka ada mahkota yang dapat menerangi antara timur dan barat. Mereka juga
diberi pakai 70 macam perhiasan yang berubah warnanya setiap jam, berbeza warna
dengan perhiasan yang lain, sedang jari-jari mereka ada sepuluh cincin, terukir
pada yang;
1. Salam alaikum
bima shobartum (Selamat sejahtera
kamu kerana kesabaran kamu)
2. Ud khuluha
bisalamin aminin (Masuklah ke
syurga dengan selamat dan aman)
3. Tilkal
janatullati urits tumu ha bima kuntum ta’malun (Itulah syurga yang diwariskan kepadamu kerana amal perbuatanmu)
4. Rufi’at
ankumul ahzana wal humum (Telah
dihindarkan dari kamu semua risau dan dukacita)
5. Albasakum
alhuli wal hulal (Kami berimu
pakaian dan perhiasan)
6. Zawwa jakum ul
hurul iin (Kami kahwinkan kamu dengan
bidadari)
7. Walakum
fihamatasy tahihil anfusu wa taladzzul a’yun wa antum fiha khalidun (Untuk mu dalam syurga segala keinginan dan menyenangkan
pandangan matamu)
8. Rafaq
tumunnabiyina wassiddiqin (Kamu telah
berkumpul dengan para Nabi dan Siddiqin)
9. Shirtum
syababa laa tahromun (Kamu menjadi muda
dan tidak tua selamanya)
10.
Sakantum fi jiwari man laa yu’dzil jiran (Kamu tinggal dengan tetangga yang tidak mengganggu tetangganya)
Penglihatan mereka dilapangkan
sehingga ia memandang yang jauh-jauh seperti memandangnya dari jarak dekat.
Penghabisan orang yang masuk syurga dan paling rendah kedudukannya, diberi
kerajaan sepanjang penglihatannya, serupa dengan jarak 100 tahun perjalanan.
Dan didirikan bagi mereka kubah
dari mutiara, zabarjat dan yakut. Lebarnya seperti antara Al-Jabiyah ke Sana’a.
Setiap pagi dan petang mereka diberi makan dengan 70,000 piring dari emas,
sedangkan warna pada setiap piring tidak sama, sedang rasa makanan pada tiap
suapan tidak sama, ditemukan rasa makanan pada suapan yang pertama sama rasanya
dengan rasa pada suapan terakhir.
Terdapat 70,000 kampung yang
terdiri dari mutiara dan yakut. Setiap kampung ada 70,000 rumah sedangkan
rumah-rumah itu tidak satu pecah atau rosak. Sebahagian bangunan di syurga
diperbuat dari jalinan bata dari emas dan bata dari perak. Bumi syurga dari
perak, dan tanahnya dari misik atau za’faran, debu lantainya dari kasturi yang semerbak
harum, dan kerikilnya mutiara serta yakut dan urat-urat pohonnya dari perak,
sedang dahannya dari mutiara dan zabarjad, daun dan buahnya berada di bawah,
maka seseorang tidak menghadapi kesukaran untuk makan walaupun dalam keadaan
berdiri, duduk ataupun baring.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah
SAW bersabda: “Allah SWT telah menciptakan wajah-wajah bidadari terdiri dari 4
warna; putih, hijau, kuning dan merah. Dan tubuhnya diciptakan dari za’faran,
misik dan kafur. Dan rambutnya diciptakan dari cengkeh. Bahagian tubuhnya mulai
dari kaki sampai lutut tercipta dari za’faran. Dari lutut sampai buah dada
tercipta dari anbar. Dari leher sampai kepala tercipta dari kafur.
Andaikata meludah ke dunia,
maka ludahnya akan menjelma menjadi misik. Pada setiap dadanya tertulis nama
suaminya dan nama dari nama-nama Allah SWT. Pada setiap tangannya mengenakan 10
gelang dari emas, memakai cincin sebanyak 10 pada jari-jarinya, memakai 10
perhiasan gelang kaki dari mutiara dan permata.”
Sekurang-kurangnya penduduk
syurga itu memiliki 80,000 pelayan dan dikahwinkan dengan 72 isteri (bidadari).
Mereka diberi kekuatan 100 orang ketika makan, minum dan senggama. Dicipta
bidadari secara langsung oleh Allah SWT dan bukan melalui proses kelahiran.
Kejelitaan digambarkan seakan-akan bidadari itu permata yakut dan marjan. Yang
sentiasa dara lagi sebaya umurnya, cantik, manja, rindu dan amat mencintai
suaminya. Yang suci dari sebarang kotoran, haid, nifas, kencing dan air mani.
Sopan menundukkan pandangan, tidak pernah disentuh oleh mana-mana jin atau
manusia sebelum mereka.
Sangat putih kulitnya. Bermata
jeli, anak mata hitam pekat bagaikan mata bayi yang baru dilahirkan, bahkan
lebih jernih dan lebih becahaya. Lebar matanya disertai bulu mata bagaikan
sayap burung yang sedang terbang. Mempunyai betis yang tembus, yang sangat
indah mata melihat sehingga boleh terlihat sumsum betis dari belakang
dagingnya.
Mempunyai kelembutan seperti
lembutnya selaput telur di dalam telur yang melekat di kulit luar. Dikurniakan
Allah SWT cahaya pada wajah seperti bulan purnama. Cahaya serta bau harum
semerbak pada tubuh mereka dapat memenuhi dunia antara langit dan bumi.
Sedangkan tutup kepala bidadari itu lebih baik dari dunia dan seisinya.
Terdapat kemah-kemah yang
mengandungi berpuluh-puluh bilik dari mutiara yang berlubang. Ada bilik yang
bagaikan taman yang luas yang dipenuhi pohon-pohon palma dan di kelilingi
sungai yang mengalir, yang tepiannya dilitupi oleh bunga mawar, melati dan lain-lain
bunga yang tumbuh dari lembah. Ketika angin meniup taman bunga ini, seluruh
taman dipenuhi bau harum semerbak.
Di dalam bilik ada ruangan luas
yang diperbuat dari kayu cendana dan pokok gaharu serta dilapisi dengan segala
macam marmar berwarna. Berterbangan burung-burung seperti burung bul-bul, murai
atau merpati yang pandai menyanyi. Setiap bilik dihiasi dengan perhiasan dari
zamrud, batu merah, batu delima merah jingga, serta emas dan perak. Di dalam
bilik yang sebegini indah inilah tempat tinggalnya bidadari itu. Mereka
menantikan kedatangan suami mereka dengan menyanyikan lagu-lagu rindu bagaikan
orang yang sedang mabuk cinta. Setiap kali mereka menyenandungkan lagu-lagu
pujaan yang menyebut-nyebut suami mereka setiap itu pula bangkit nafsu kecemburuan
mereka.
Hadis riwayat
At-Tarmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Di sediakan tempat untuk berkumpulnya para bidadari, dan di sana
mereka beryanyi semerdu suara yang belum pernah didengar oleh manusia suara
semerdu itu. Kamilah yang kekal dan tak akan rosak (berubah), kamilah selalu
senang tak pernah susah, kamilah yang puas rela tak akan marah, sungguh bahagia
orang yang untuk kami dan kami untuknya.”
Ketika mereka yakni suami
bidadari melintasi kawasan perkemahan di mana para bidadari berkumpul, maka para
bidadari akan menyambut kedatangan suami mereka dengan sepenuh jiwa dan raga
mereka kepadanya. Para bidadari akan melayan sepenuhnya keinginan suaminya,
bahkan menggoda supaya suaminya terus bermesra dengannya.
Para bidadari sentiasa inginkan
kehidupan di atas tilam-tilam sutera yang lembut, dengan cadar yang
berilau-kilauan, sentiasa berpegangan erat tangan suaminya. Hubungan senggama
bersama bidadari adalah hubungan kenikmatan tanpa sebarang keletihan, peluh
mahupun kotoran berupa air mani. Seorang suami boleh menggauli 100 bidadari
dalam sehari.
Bagi mereka yang menduduki
syurga ‘Adn, mereka akan menduduki istana-istana yang diperbuat daripada
mutiara. Di dalam setiap istana terdapat 70 buah rumah dari permata yakut
merah. Di dalam setiap rumah terdapat 70 buah bilik dari zamrut hijau. Di dalam
setiap bilik terdapat ranjang. Setiap ranjang terdapat 70 permaidani dalam
pelbagai warna, dan setiap permaidani terdapat seorang bidadari. Mereka akan
diberi hiasan gelang dari emas, berpakaian hijau dari sutera yang bersulam
benang emas.
Ahli syurga akan lupa akan
segala kenikmatan yang mereka alami di dalam syurga apabila mereka dihimpunkan
dalam satu majlis yang agung. Majlis ini adalah kemuncak bagi segala kenikmatan
bagi penduduk syurga kerana di dalam majlis ini, mereka dapat mendengar dengan
sendiri kalimat dari Allah SWT, dapat melihat Zat Allah SWT, dapat redha dari
Allah SWT dan dapat pengisytiharan yang mereka akan hidup kekal selamanya di
dalam syurga oleh Allah SWT.
Wallahu A'lam